Pengikut

Isnin, 2 April 2012

Mujahid cabar Shaik Husein debat isu tanah Bayan Mutiara

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa mencabar Ketua Pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang, Shaik Husein Mydin berdebat secara terbuka isu tanah masjid di Bayan Mutiara kononnya Kerajaan Pakatan Rakyat bertindak biadap menjual tanah berkenaan yang di dalamnya akan dibangunkan masjid.

Cabaran beliau dibuat ketika berceramah di Tanah Liat, di sini malam tadi.

Menurutnya lagi, perdebatan mengenai perkara itu patut diadakan segera untuk menangkis segala tohmahan yang tidak berfakta sebaliknya sengaja ditimbulkan untuk meningkatkan kemarahan orang Melayu terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Lim Guan Eng.

"Bagi mengatakan yang hak, saya cabar Shaik Husein Mydin supaya berada di satu pentas berdebat mengenai isu tapak masjid Bayan Mutiara yang kononnya telah dijual pada satu syarikat untuk pembangunan baru," tegasnya lantang.

Selama ini tambah beliau, media arus perdana terus memainkan isu itu tanpa meneliti perkara sebenar sedangkan tanah seluas 103 ekar tersebut telah pun habis tempoh untuk perancangan ekoran lama terbiar.

Jika isu itu dibahaskan dengan adil, tegasnya yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar, pasti rakyat tidak termakan dakyah yang ditiupkan oleh Umno.

Beliau mempersoalkan kenapa Umno yang menjadi tulang belakang Kerajaan Barisan Nasional (BN) dari tahun 2006 sehingga 2008 tidak memecah sempadan tanah berkenaan untuk diserahkan kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) bagi tujuan pembangunan masjid.

Sebaliknya, apabila kerajaan bertukar tangan barulah Umno hendak tunjuk menjadi hero mahu memperjuangkan tanah yang telah dijual kepada pemaju Ivori secara tender terbuka dengan harga RM224.00 sekaki dengan kos keseluruhanya bernilai RM1.07 bilion.

"Semua pihak tidak boleh salahkan kerajaan negeri kerana jual pada syarikat pemaju Ivori kerana tanah tersebut belum lagi menengahkan pelan baru untuk perumahan di situ. Ivori baru ambil tak buat lagi plan pembangunan," jelasnya.

Isu tanah di Bayan Mutiara tiba-tiba menjadi hangat apabila Umno mendakwa Kerajaan Pakatan Rakyat menjual tapak masjid dengan harapan meningkatkan kebencian rakyat terutamanya orang Islam agar tidak menyokong Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum nanti.

Walhal kata Mujahid, tindakan kerajaan negeri menjualnya amat tepat semata-mata untuk membina semula perumahan mampu milik kepada rakyat.

Jelasnya, apabila wujudnya perumahan yang dikatakan itu, pastinya pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengenakan syarat supaya diperuntukan kawasan untuk tapak masjid, sekolah dan lain-lain.

-RM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan