Pengikut

Isnin, 2 April 2012

Mahathir kritik warisannya sendiri

Dr Mahathir berkata yang UMNO sedang kehilangan ahli yang mampu menjadi pemimpin. Kekurangan ini disebabkan ramai orang Melayu yang berkelayakan tidak mendapat tempat kerana mereka takut dengan kehadiran mereka yang berwatak baik, berpelajaran dan berpendidikan professional dalam UMNO. Dalam PRU yang akan datang Mahathir mahukan UMNO menurunkan calon yang baik dan mendapat sokongan ramai.

Saya merasa gembira yang Mahathir mempunyai pandangan seperti ini, tetapi persoalannya kita ingin bertanya kepada Mahathir kenapa dan siapa yang memulakan budaya mengenepikan pemimpin yang berguna kepada rakyat dan membawa mereka yang tidak berguna untuk menjadi orang penting didalam UMNO dan kerajaan selama ini?

Bukankah beliau yang memulakan budaya mengambil dan menaikkan mereka yang hanya digunakan untuk memperkuatkan kedudukan beliau sahaja semasa beliau mula mengambilalih kepimpinan sehinggalah beliau berhenti pada oktober 2003 dahulu?. Budaya menaikkan hanya ‘yes man’ dan ‘yes sir’ bermula dengan jelas semasa beliau memimpin kita. Mahathir dengan begitu sistematik telah berjaya mengenepikan sesiapa sahaja dikalangan pemimpin yang beliau anggap sebagai pencabar kepada beliau.

Budaya yang dibentuknya terus menerus berkembang selepas beliau meletakkan jawatan setelah mengepalai kerajaan selama 22 tahun. Beliau tidak pernah membina barisan pelapis kepada kepimpinan yang baik malah beliau telah membunuh semua mereka yang berpotensi untuk memimpin negara dengan baik. Semasa zaman beliau lah ramai pengampu dan pembodek menyertai parti itu dan menaiki tangga kepimpinan dengan hanya memberikan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada beliau.

Mahathir memerlukan sokongan biar pun sokongan membuta tuli. Akhirnya semua tahu yang beliau hanya bermatlamatkan untuk berkuasa dan perjuangan peribadi beliau berjaya sehingga beliau menjadi PM selama 22 tahun. Bayangkan selama 22 tahun kepimpinan negara tidak pernah digilapnya sehingga wujud kekosongan dalam kepimpinan negara dengan begitu ketara.

Yang tinggal hanyalah mereka yang menjadi pemimpin melalui kegiatan membodek dan mengampu sahaja. Jika beliau benar-benar membina pimpinan pelapis dengan serius orang seperti Abdullah Badawi dan Najib tidak mungkin menjadi PM yang hanya memenuhi masa untuk menempelkan kepimpinan yang begitu ‘artificial’

Isu moral, nilai dan etika kepimpinan tidak menjadi alat pengukur lagi untuk menjadi orang penting kepada UMNO semasa Dr Mahathir menjadi pemimpin utama kita. Kriteria untuk menaiki tangga kejayaan politik hanyalah satu; iaitu memberikan sokongan peribadi yang tidak berbelah bagi. Samada seseorang itu adalah perasuah tegar, keperibadian yang tidak semenggah atau tidak ada ‘sisik’ kepimpinan tidak mengapa kepada Mahathir. Yang penting ‘kamu mesti menyokong aku sebab aku hendak menjadi pemimpin kalau boleh buat selama-lamanya’.

Itulah sebabnya setelah beliau mentadbir begitu lama dan terpaksa meletakkan jawatan kerana desakan banyak pihak, Dr Mahathir telah mewariskan kepada kita pemimpin-pemimpin yang tidak memahami bagaimana hendak mentadbir negara. Itu jugalah sebabnya negara kita kini ditadbir oleh pemimpin yang mentadbir negara seperti mentadbir persatuan sepak takraw dan persatuan gasing. Tidak ada lagi pemimpin yang ‘magnanimous’ yang boleh diyakini oleh rakyat terutamanya kepada rakyat yang bermaklumat.

Kini kita menerima warisan Mahathir yang mana semua sistem dan institusi demokrasi negara yang telah hancur lebur. Sistem kehakiman dan perundangan sudah tidak lagi diyakini bukan sahaja oleh rakyat kita sendiri, tetapi juga oleh masyarakat antarabangsa. Badan Kepolisisan (Polis) diragui oleh rakyat dan terlalu banyak tuduhan dibuat terhadap “attorney general” serta bekas ketua polis negara dan segala tuduhan itu tidak pula dibersihkan dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menuduh itu.

Dizaman Mahathir itulah kita menyaksikan segala yang telah berjaya dibina telah diporak perandakan. MAS yang semasa sebelum zaman Mahathir merupakan syarikat penerbangan negara yang paling ‘premium’ sekarang ini telah diperkosa dan di‘cannibalized’ oleh kroni Mahathir. Zaman ini jugalah BBMB yang menjadi kebanggaan orang Melayu kini sudah tiada lagi dan dikuasai oleh keluarga yang berpengaruh dalam negara ini.

Apa yang terjadi kepada PERNAS dan banyak lagi kepada semua ‘public companies by guarantee’ kepunyaan rakyat, telah diperkosa oleh mereka-mereka yang diberikan tanggungjawab untuk mentadbir syarikat-syarikat tersebut. Dizaman Mahathir lah terbentuknya budaya orang kaya baru dikalangan mereka yang diberi amanah untuk menjaga syarikat-syarikat kerajaan yang terbang dengan jet-jet eksekutif seolah-olah mereka ini menjadi ‘corporate captain’ di atas kepandaian dan kebijaksanaan masing-masing.

Sekarang ini Mahathir pula yang mengatakan UMNO sudah tiada kepimpinan. Kekosongan pimpinan dalam UMNO bermula dari zaman beliau. Pandangan beliau yang ramai cendiakawan yang telah menyertai parti lain itu bermula dari zaman beliau kerana mereka yang bijak dan mempunyai pandangan yang membangun telah menyebabkan kepimpinan disemua peringkat UMNO itu menolak mereka-mereka (professional) ini.

UMNO kini telah menjadi parti mundur. Mahathir sendiri mengakui tidak berapa lama dahulu yang UMNO itu telah busuk sehingga ke ususnya. Ini kata-kata Mahathir sendiri, bukannya kata-kata mereka yang dari pembangkang. Mahathir telah menyalahkan pembangkang dan membuat berbagai tuduhan dan tekanan terhadap pihak alternatif. Mahathir berkata yang negara akan huru hara jika pembangkang mengambilalih.

Huru hara ini sebenarnya hanya boleh dilakukan oleh UMNO kerana mereka terlalu takut dan gusar dengan arus penentangan terhadap UMNO masa kini. Maklumlah sudah begitu lama berkuasa, apabila kuasa hilang mereka tidak dapat untuk menerimanya. Itulah sistem demokrasi acuan UMNO seperti yang selalu disebutkan oleh Mahathir sendiri. Kemenamgan itu hanya hak UMNO sahaja. Tetapi apabila UMNO itu tidak memberikan keuntungan, Mahathir bertindak keluar dari parti yang beliau tubuhkan sendiri pada tahun 1998 dahulu.

Mahathir boleh keluar UMNO. Orang lain keluar UMNO tidak boleh. Mahathir boleh bunuh UMNO tetapi sesiapa yang menentang UMNO itu orang jahat, melainkan beliau sendiri bertindak keluar UMNO itu.

Sekarang kita lihatlah apa yang sedang diwariskan oleh Mahathir kepada negara ini. Kita berharap Mahathir akan terus sihat walafiat dan hidup lebih lama lagi untuk melihat apa yang berlaku kepada rakyat khususnya orang Melayu hasil dari warisan beliau ini. Kini UMNO tidak mungkin dapat memperbaiki diri sendiri. jangan salahkan orang lain. Salahkan diri sendiri.

Saya yakin Mahathir sangat puas dengan apa yang beliau lakukan selama ini.

-Aspan Alias

Tiada ulasan:

Catat Ulasan