Pengikut

Khamis, 6 Oktober 2011

Fitnah liwat II: Pergerakan Anwar terhad - Dr Hoogland

Pakar tulang belakang yang merawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Jerman pada 2004, mengesahkan Ketua Pembangkang itu masih mengalami sakit belakang.

Ia menyebabkan Anwar sukar untuk membongkok dan mengehadkan pergerakan belakang dan bahagian leher beliau.

Dr Thomas Hoogland, menjelaskan perkara itu ketika dipanggil sebagai saksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, beliau membedah Anwar pada 6 September 2004 di kliniknya di Munich, Jerman. Anwar berada selama tiga minggu bermula tarikh itu hingga 27 September 2004.

Tiga bulan selepas itu pada Febuari 2005, Anwar sekali lagi datang ke kliniknya dan beliau mendapati Anwar masih mengalami sakit belakang.

Hoogland berkata, Anwar mengalami kemerosotan tulang belakang, yang memberi kesan kepada kaki dan tangan pesakit. Saksi itu berkata semakin lama saraf terganggu, semakin besar kemungkinan ia akan menyebabkan kehilangan fungsi berikutnya.

Menurut diagnosisnya, laluan saraf pada (lumbar) cakera tulang belakang Anwar yang dikenali sebagai C5 dan C6 semakin mengecil.

Malah, fungsi tulang belakang Anwar juga semakin merosot menyebabkan kehilangan sebahagian fungsi pada lumbar tulang belakang keempat dan kelima, dan juga kemerosotan saraf, kata Dr Hoogland.

“Ada masalah stenosis pada cakera C5 dan C6. Beliau mengadu sakit pada bahagian belakang.

“Kerosakan saraf, stenosis mengehadkan pergerakannya, dan kerosakan kepada sendi (tulang belakang) juga menyebabkan masalah berterusan,” kata Dr Hoogland.

Ketika ditanya samada masalah itu akan berulang semula, Hoogland berkata ia pada kadar 5 hingga 20 peratus.

Hoogland berkata, kemerosotan tulang bukan satu proses semula jadi, tetapi ia adalah perkara biasa.

Menurutnya lagi, Anwar mempunyai masalah untuk membongkok ke hadapan dan melakukan pergerakan, justeru itu beliau menasihati Anwar supaya melakukan solat secara berhati-hati dan perlahan.

Ketika memberi keterangan di mahkamah hari ini, laporan perubatan dan pembedahan yang dijalankan pakar itu turut ditandakan sebagai bahan bukti.

Hoogland telah menulis sebanyak lima buku mengenai pembedahan tulang belakang dan merupakan ahli Persatuan Orthapaedik Jerman.

Beliau tamat pengajian perubatan pada tahun 1972 dan memulakan latihan ortopaedik di Amerika Syarikat pada tahun berikutnya.

Sehingga ke hari ini, beliau memberitahu mahkamah sudah menjalankan kira-kira 14 ribu pembedahan tulang belakang. -KeadilanDaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan