Pengerusi nya, Syed Ibrahim Syed Noh mengulas cadangan SPR memperkenalkan sistem itu kononnya bagi memastikan pilihan raya di negara ini dijalankan secara telus dan adil.
“Cadangan dahulu pun masih belum dilaksana iaitu penggunaan dakwat kekal untuk menghalang pengundian berulang. Sistem ini digunakan di banyak negara kerana ia mudah, cepat dan murah.
“Sekarang mahu dilaksana pula sistem biometrik yang belum pernah diuji ketelusannya. Tanpa sebarang perbincangan dan perdebatan, SPR mahu melaksanakan sistem yang sangat mahal kosnya.
“Bagi Mafrel, SPR mencipta satu masalah baru, sedangkan masalah lama masih belum diselesaikan,” kata Syed merujuk isu berbangkit itu setiap kali pilihan raya.
Sebelum ini Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menjadikan isu dakwat kekal sebagai salah satu dari lapan tuntutan untuk pembersihan pilihan raya.
Dalam pada itu Syed Ibrahim turut ditanya kesediaan diplomat Kesatuan Eropah (EU) yang mempertimbangkan cadangan untuk menghantar kumpulan pemerhati ke Malaysia pada pilihan raya umum ke-13.
Katanya, tidak ada sebab SPR perlu menolak kerana suruhanjaya itu sendiri diundang sebagai pemerhati di luar negara seperti di Thailand, apabila Timbalan Pengerusi SPR, Dato Wan Ahmad Wan Omar diundang sebagai pemerhati.
“Hanya kerajaan yang memanipulasi sistem pilihan raya mereka sahaja yang takut kepada pemerhati luar,” kata Syed Ibrahim kepada Keadilandaily.
“Tiada masalah sebenarnya. Sekiranya Malaysia memanggil pemantau pilihan raya antarabangsa sudah tentu, pegawai tersebut akan disaring, berdaftar dengan kedutaan negara mereka dan Wisma Putra,”
“Apa yang penting ialah keyakinan ‘pelanggan’ SPR iaitu parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini,” ujarnya. -KeadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan