Pengikut

Isnin, 25 Julai 2011

Tak munasabah cincin RM24.45 juta untuk pameran sulit

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin tidak percaya isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor membeli cincin RM24.45 juta, hanya untuk tujuan pameran ‘sulit’.

“Kalau diikutkan dengan sifat Rosmah yang sukakan publisiti besar-besaran tentang apa jua yang melibatkan beliau, takkanlah beliau hendak mempamerkan cincin jutaan ringgit di Pameran yang Sulit?,” kata Badrul atau lebih popular dengan nama Chegu Bard.

Sebelum ini, sebuah blog, Edyesdot.com mendedahkan bahawa pameran sulit tersebut berlangsung pada 17-19 April 2011, di sebuah tempat yang turut dirahsiakan.

Berlian itu kemudian dibawa ke Singapura empat hari selepas itu dengan menggunakan borang K2 yang dikeluarkan Kastam di Raja Malaysia sebagai bukti pengeluaran.

Namun borang tersebut menimbulkan banyak keraguan termasuk status pegawai yang menurunkan tandatangan ke atas borang kastam berkenaan.

Mengulas lanjut, Chegu Bard tidak menolak kemungkinan terdapat usaha untuk menggambarkan seolah cincin berlian berkenaan telah dipulangkan semula kepada syarikat pengeluarnya, Jacob & Co yang berpengkalan di New York.

“Pelbagai penafian dan helah dibuat untuk mengaburi mata rakyat. Dan jangan terkejut jika dia (Rosmah) akan hantar balik cincin tersebut ke New York,” kata Chegu Bard ketika dihubungi Keadilandaily.

Chegubard (gambar kanan) sebelum ini mendedahkan bukti pembelian cincin melalui skrin sistem maklumat Kastam Diraja Malaysia (KDRM) tertera nama Rosmah sebagai pengimport dari syarikat berlian mahal itu.

Beliau pada 13 Julai lalu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Pulau Pinang berhubung pembelian cincin “Natural Fancy Gray Cushion Cut Diomand” yang dibeli Rosmah.

Bagaimanapun, sebaik sahaja SAMM membuat laporan kepada SPRM, sistem KDRM dilapor mengalami kerosakan selama tiga jam, dipercayai sebagai usaha untuk melindungi siasatan.

Sehingga kini Rosmah tidak memberikan sebarang penjelasan sebaliknya menggunakan blogger pro Umno untuk menangkis dakwaan berkenaan, dengan menyatakan berlian itu dibawa masuk bagi tujuan pameran sulit, sebelum dibawa keluar ke Singapura. -KeadilanDaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan