Pengikut

Isnin, 25 Julai 2011

Bekas pemimpin BN pun tak percaya Najib

Bukan saja pemimpin Pakatan Rakyat (PR) tidak mempercayai kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, malah bekas pimpinan Barisan Nasional (BN) sendiri telah menunjukkan sikap tersebut terhadap kepimpinan beliau.

Ketua Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli, berkata demikian, ketika berucap dalam majlis penerangan anjuran PAS Kawasan Tasek Gelugor di Permatang Buloh, malam tadi.

Menurut beliau lagi, tindakan bekas pimpinan BN menubuhkan Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) dengan jelas membuktikan pimpinan Najib bukan saja tidak diyakini dikalangan pimpinan Umno dan BN, tetapi juga penyokong parti tersebut sebelum ini.

"Jika bekas menteri seperti Ong Tee Keat, Tengku Razaleigh dan beberapa pimpinan lain berani bersama organisasi seperti Amanah untuk menzahirkan pandangan mereka secara positif mengenai tindakan menyimpang kerajaan, maka adalah tidak salah bagi rakyat juga untuk menyatakan ketidak puasan mereka.

"Amanah juga menjadi satu lagi tamparan kepada kepimpinan Najib, apabila beliau sering mendabik dada menyatakan sokongan yang diterimanya adalah padu baik dari kalangan pimpinan BN kini, dulu dan selamanya," ujarnya lagi.

Malah katanya begitu banyak kelemahan dalam pentabdiran Najib menyebabkan rakyat sudah hilang keyakinan di atas reputasi beliau sebagai Perdana Menteri.

"Air Asia juga telah dipindahkan ibu pejabatnya dari Kuala Lumpur ke Jakarta. Bukankah ini juga suatu lagi krisis keyakinan yang menimbulkan persepsi yang pelbagai rakyat terhadap kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri.

"Penangkapan peguam Perancis, William Bourdon pada 22 Julai baru-baru ini, juga sesuatu yang memalukan negara. Apa yang hendak ditakutkan oleh kerajaan sekiranya tiada apa yang hendak disembunyikan.

"Bak kata pepatah berani kerana benar, takut kerana salah, sehingga menyebabkan tindakan mencemarkan nama negara itu terpaksa diambil oleh kerajaan pimpinan Umno dan BN," tegasnya lagi.

Beliau juga berkata, Najib sepatutnya jangan begitu takut kepada bayang-bayang beliau sendiri diatas segala kesalahan dan kemungkaran yang dilakukan selama memerintah negara.

Hadir bersama ialah Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan AJK PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. -Harakah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan