Pengikut

Selasa, 31 Ogos 2010

Perutusan Hari Kemerdekaan Ke-53 oleh Setiausaha Agung DAP

Dengan rasa rendah diri, saya mengucapkan selamat menyambut Hari Merdeka 2010 kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Tidak ada gunanya jika kita melaungkan Merdeka tetapi kosong tanpa amalan. Tidak ada gunanya bercakap soal perpaduan kaum jika ada anasir-anasir yang meniupkan api perkauman. Tidak ada gunanya mengaku anti-perkauman jika membiarkan musuh-musuh perpaduan menggalakan sikap benci-membenci antara kaum dan agama.

Saya ingin tegaskan bahawa DAP dengan penuh iltizam telah berjuang ke arah mewujudkan masyarakat pelbagai kaum dengan menawarkan peluang saksama dan keadilan untuk semua. DAP tetap menjunjung Perlembagaan Persekutuan 1957 yang menjamin hak-hak setiap rakyat di negara ini.

Malangnya, iltizam dan semangat DAP ini cuba dipatahkan oleh segelintir manusia yang tidak mahu melihat masyarakat Malaysia hidup dalam suasana harmoni dan kasih sayang.

Saya sendiri telah banyak kali menjadi mangsa fitnah dan pembohongan Utusan Malaysia dan beberapa pemimpin politik. Sahabat-sahabat saya dalam DAP seperti Tony Pua, Teo Nie Ching, Teresa Kok serta para pemimpin PAS dan PKR turut menjadi mangsa pembohongan kumpulan-kumpulan rasis ini. Dan yang menyedihkan, tidak ada tindakan tegas daripada kerajaan Barisan Nasional yang kononnya mengaku tidak mahu tunduk kepada perkauman.

Pada kala DAP rapat dengan orang Melayu, golongan rasis telah memutarbelitkan niat murni kami untuk memupuk persaudaraan dengan orang Melayu. Di kala DAP menghulurkan salam silaturrahim kepada umat Islam di Malaysia, kumpulan rasis yang sama itu memutarbelitkan hasrat suci kami untuk bersahabat dan mengikat tali persaudaraan dengan umat Islam.

Pada kala DAP mengajak semua kaum di negara ini, sama ada Melayu, Cina, India, Kadazandusun, Iban dan sebagainya untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah, kumpulan-kumpulan rasis yang telah kehabisan modal terus membohongi rakyat untuk memastikan usaha perpaduan tulen ini gagal.

Mereka bertindak demikian kerana mereka sedar bahawa politik using secara pecah perintah dan syak-wasangka antara kaum sudah tidak diterima lagi. Mereka bimbang mereka tidak akan menjadi relevan lagi. Mereka takut kehilangan saki baki kuasa yang mereka pernah ada suatu ketika dahulu.

Erti Merdeka amat penting kepada kita semua kerana ia mencerminkan kematangan rakyat Malaysia dalam mengharungi cabaran, khususnya dalam usaha kita untuk memupuk perpaduan kaum.

Merdeka bererti kita bebas daripada penindasan dan pengekangan hak. Merdeka bererti Malaysia bebas daripada undang-undang zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak dan banyak lagi undang-undang yang bersifat anti-rakyat dan anti-kebebasan.

Malah, Merdeka juga sepatutnya bererti Malaysia bebas daripada rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, diskriminasi dan perkauman. Merdeka bermaksud rakyat hidup aman damai tanpa rasa takut.

Bagi pihak DAP dan Pakatan Rakyat, sempena Hari Merdeka yang mulia ini, kami yakin rakyat akan membuat pilihan yang bijak dalam pilihan raya umum akan datang. Kami berjanji akan melaksanakan erti Merdeka yang sebenar untuk membebaskan rakyat daripada belenggu tekanan dan ketakutan.

Malah, apabila rakyat memberi mandat kepada Pakatan Rakyat, kami menawarkan RM1,000 kepada setiap warga emas, member perhidmatan wi-fi percuma untuk semua dan menghapuskan saman ekor. Ini hanya sekadar beberapa usaha kami untuk memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.



*Perutusan Hari Kemerdekaan Ke-53 oleh Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Guan Eng.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan