Ketua Umum Pakatan rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemilihan Datuk Zaid Ibrahim sebagai pilihan yang tepat berbanding doktor pakar bedah saraf, Datuk Dr Halili Rahmat sebagai wakil yang mewakili parti itu pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor dekat sini, Ahad ini. “Nasib baik pilih dia (Zaid), kalau pilih silap hari itu, dia (Dr Halili) mesti akan lompat.
“Saya dapat sistem pesanan ringkas mengucapkan terima kasih kerana tidak pilih Halili sebab kalau menang, lepas itu lompat lagi parah,” katanya ketika berucap pada ceramah umum PKR di padang bola di Ampang Pecah di sini, malam kelmarin.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan Halili yang juga Bendahari PKR cabang Hulu Selangor keluar parti dan menyertai UMNO.
Mengulas lanjut katanya, tindakan Halili keluar parti dan menyokong serta berkempen untuk Barisan Nasional tidak menggugat PKR bagi mengekalkan kerusi parti itu pada pilihan raya nanti.
“Biarlah dia nak keluar parti sekali pun sebab dia dah tak aktif berpolitik sejak tahun 2004 lagi.:
“Dia hadir pada hari penamaan calon, dia harapkan jadi calon tapi :kita buat pertimbangan lain kerana kita letak Zaid,” katanya ketika ditemui selepas berkempen di sini.
Ketika diminta mengulas sama ada Halili ditawarkan sejumlah wang untuk meninggalkan PKR, Anwar berkata, beliau tidak mempunyai bukti untuk mengaitkan bekas doktor peribadinya dalam isu tersebut.
“Saya tidak ada bukti dan alasan dia meninggalkan parti,” katanya.
Sementara itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata tindakan Dr Halili keluar parti menggambarkan beliau seorang pemimpin yang lemah dan bermasalah kepada parti.
“Biar yang tidak ada masalah tinggal dalam parti. Dia kecewa tapi kami tidak. Kami yakin dengan PKR,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan