Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Kerajaan Negeri tidak akan mengadakan sebarang sambutan bagi menyambut Maulidur Rasul memandangkan bulan Maulud tidak mempunyai sebarang fadilat dan kelebihan berbanding bulan Ramadan.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, Kelantan tetap tidak akan mengadakan sebarang sambutan, walaupun negeri lain membuat sambutan secara besar-besaran.
“Bulan Maulud sendiri tidak ada sebarang fadilat tidak sebagaimana bulan Ramadan. Bulan Ramadan memang ada fadilat dan kelebihannya. Bulan Maulud tidak ada apa. Di rumah saya sendiri, saya tak pernah buat Maulud. Sebenar-benar Maulud bagi saya, bagi orang seperti kami (gerakan Islam) ialah mewujudkan suasana Islam dalam sebuah negara. Ini sebenar-benar Maulud” Kata Tuan Guru dalam satu kenyataan di Kota Bharu minggu lepas.
Perayaan Maulidur Rasul atau Hari Keputeraan Rasulullah SAW oleh kaum Muslimin dianggap sebagai sebahagian cara untuk menunjukkan rasa cinta terhadap Nabi yang paling mulia Muhammad SAW. Selain perarakan dan ceramah, majlis Maulidur Rasul seolah-olah tidak sah jika tiada acara bacaan Barzanji dan Marhaban.
Membaca bait-bait syair dalam buku Barzanji sudah menjadi acara wajib bagi menunjukkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW. Bagi golongan pencinta Maulid, mereka tidak pernah berfikir mengapa para Sahabat tidak mengarang bait-bait syair seperti buku Barzanji untuk memuji Nabi di hari kelahirannya ? Mengapa pula para Sahabat tidak mengadakan majlis perarakan untuk memeriahkan hari kelahiran manusia terbaik di muka bumi ini ?
(Antara buku-buku Barzanji yang terdapat di pasaran)
Sambutan Maulid pada hakikatnya jelas meniru orang-orang Kristian dalam merayakan hari kelahiran Nabi Isa yang mereka sebut dengan Hari Natal atau Krismas. Kita umat Muhammad dilarang keras menyerupai Yahudi dan Kristian apalagi meniru ritual-ritual agama mereka. Allah berfirman :
“Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti keinginan mereka (Yahudi dan Nasrani) setelah datang kepadamu ilmu, sesungguhnya kamu kalau begitu termasuk golongan orang-orang yang zalim.” (Al-Baqarah :145).
Penyerupaan berlaku kepada pencinta Maulid yang mana mereka menyambut perayaan Maulidur Rasul pada 12 Rabbiul Awwal setiap tahun, walaupun tarikh 12 Rabbiul Awwal itu sendiri dipertikaikan kesahihannya oleh para ulama hadits. Amalan ini adalah mencontohi perbuatan penganut agama Yahudi, Nasrani atau Majusi yang sentiasa menyambut hari kelahiran nabi atau ketua agama mereka dengan mengadakan perayaan.
Para pencinta Maulid sememangnya sering tidak mempedulikan larangan Rasulullah SAW agar tidak meniru atau mencontohi amalan agama Ahli Kitab atau Majusi, sedangkan Rasulullah dengan tegas telah melarang sebagaimana sabdanya :
“Barang sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dari kaum tersebut” (Hadits sahih riwayat Abu Dawud)
Pencinta amalan Maulid ini berhujah bahawa perayaan memperingati maulid ini untuk membacakan sirah hidup Rasulullah SAW, tetapi sirah yang mereka bacakan dalam Barzanji bertentangan dengan sabda-sabda dan sejarah Rasulullah yang sebenar. Kalaulah begitu apa faedahnya? Apakah orang yang dikatakan mencintai Rasulullah memadai hanya dengan membacakan sirah hidup baginda setahun sekali ?
Dalam Barzanji, bacaan puji-pujian kepada Nabi saw yang terdapat di dalamnya terdapat benih-benih kesyirikan dan pujian yang melampaui batas-batas Syari’at terhadap Nabi SAW, namun bagi pencinta Maulid mereka menganggap itu sebagai majlis untuk mendekatkan diri kepada Allah dan RasulNya. Padahal tentang pujian yang melampaui batas itu, Rasulullah SAW telah bersabda :
“Janganlah kalian berlebihan memujiku sebagaimana orang-orang Nasrani berlebihan memuji putera Maryam. Aku tidak lain hanyalah seorang hamba, maka Katakanlah hamba Allah dan Rasul-Nya.” (Hadits Riwayat Bukhari dari ‘Umar)
Sedangkan perbuatan Syirik menghapus seluruh amal seorang hamba sebagaimana firman-Nya :
“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepada kamu (Hai Muhammad) dan kepada (nabi-nabi) yang sebelummu, Jika engkau berbuat syirik nescaya akan hapus amalmu dan nescaya engkau termasuk golongan orang-orang yang rugi.” (Surah Az-Zumar : 65).
Amalan bangun dan berdiri (juga berarak) ketika semasa membaca Barzanji) untuk menghormati dan memuliakan Rasulullah sebenarnya adalah suatu penghormatan yang keliru. Amalan berdiri (juga berarak) bukanlah ajaran dari sunnah Rasulullah, kerana Anas bin Malik pernah berkata:
“Tidak ada seseorang yang lebih dicintai oleh para sahabat daripada Rasulullah. Apabila para sahabat melihat Rasulullah hadir, tidak seorang pun yang berdiri memberi penghormatan. Sebab mereka mengetahui bahawa Rasulullah sangat membenci penghormatan dengan cara berdiri”. (Riwayat Ahmad dan Termuzi)
Berzanji dan kitab seumpamanya seperti Syaraful Anam, al-A’Zab dan ad-Daiba’i yang dibaca dan dilagukan itu walaupun mengandungi kalimah-kalimah syirik dan bertentangan dengan syarak tidak dihiraukan, yang penting bagi pencinta Maulid ialah sedap, enak dan merdu melagukan Berzanji.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan