Pengikut

Isnin, 5 Disember 2011

Melayu mana Umno nak bela?

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa orang Melayu agar tidak tertipu dengan janji palsu Umno yang kononnya mahu membela Melayu.

Bercakap pada program Rapat Rakyat di perkarangan Stadium Malawati di sini malam tadi, ketua pembangkang itu juga berkata, sudah lebih lima dekad Umno BN diberi peluang memerintah negara, namun nasib orang Melayu tidak pernah terbela malah harta orang Melayu yang tergadai.

"Datang perhimpunan jerit nak bela Melayu. Melayu mana nak dibela, Melayu mana nak diselamatkan, Melayu kaya, Melayu pemimpin Umno?

"Mereka tak layak diselamatkan, mereka perlu dihumban dalam pilihan raya akan datang," katanya di hadapan kira-kira 10 ribu hadirin.

Menurutnya, laungan membela Melayu oleh pemimpin Umno hanya sekadar slogan demi mempertahaan survival pemimpin parti itu untuk terus mendapat kuasa.

"Nak percaya pertahan Melayu?

"Kalau betul nak pertahan Melayu, mereka tidak akan biar tanah-tanah Melayu dirampas. Kg Baru satu-satunya tanah Melayu di Kuala Lumpur, itu pun nak serah kepada (Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri) Raja Nong Chik di bawah Akta Pembangunan Kampung Baru.

"Tanah Felda ratusan ribu hektar, serah kepada (Pengerusi Felda Tan Sri) Isa Samad," jelasnya lagi.

Mengulas perhimpunan agung Umno lalu juga, Anwar mendakwa Umno gagal memahami semangat hijrah Rasulullah s.a.w. yang meninggalkan fahaman perkauman sempit dan mengambil fahaman yang lebih universal.

Dari pemimpin hingga kepada ahli biasa Umno, kesemuanya kata Anwar masih tegar dengan perkauman sempit mereka.

"Pergi haji, pakai ihram, tetapi masih balik dengan perkauman keras, angkuh, zalim dan rompak harta rakyat," katanya sambil berkata tidak menujukan kata-kata itu pada sesiapa.

Pertahan Selangor tawan Putrajaya

Dalam pada itu Anwar turut memberi peringatan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa Pakatan Rakyat bukan sahaja akan mempertahan Selangor malah akan berusaha untuk menguasai Putrajaya menjelang PRU-13 nanti.

"Najib kata nak rampas Selangor. Saya nak jawab, boleh mimpi nak tawan Selangor, tapi kami insyaAllah sampai Putrajaya.

"Dalam pilihan raya kita ada dua, satu PR satu BN, satu madu satu racun.

"Racun di tangan kirimu... BN, madu ditangan kananmu...PR," katanya dalam nada menyanyi lagu Madu dan Racun yang dipopularkan penyanyi Jamal Mirdad.

Turut hadir dan berucap pada program malam tadi adalah Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Setiausaha Datuk Mustafa Ali, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said dan pimpinan PR Selangor termasuk Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim. -HarakahDaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan