Pengikut

Jumaat, 27 April 2012

Ada Najib di sebalik Datuk Bandar Kuala Lumpur

Persoalan pokok yang ditonjolkan lantaran bantahan Datuk Bandar Kuala Lumpur terhadap perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April adalah, sejak bilakah dataran ini menjadi begitu "suci" sehingga rakyat tidak berhak untuk menggunakannya pada bila-bila masa?

Pernah beberapa kali saya melalui Dataran Merdeka pada hujung minggu, melihat sendiri bagaimana Mat Rempit berkejaran satu sama lain dengan lumbaan motorsikal. Namun polis tidak kelihatan di situ.  Apakah perhimpunan aman lebih bahaya daripada anak muda yang beraksi untuk membahayakan diri dan orang awam?  Apakah alasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk tidak membenarkan perhimpunan Duduk Bantah?

Menyasarkan Datuk Bandar sekadar me-"ringkas"-kan masalah, malah membodohkan.  Tiada mandat daripada Rakyat diberikan kepada Datuk Bandar.  Dari segi semangat demokrasi, Ahmad Fuad Ismail langsung tidak layak untuk menerajui Ibu Kota.  Jawatannya ditentukan keputusan politik.  Jadi, pemimpin parti pemerintah yang meletakkannya pada tempat itulah yang berkuasa di sebalik tabir.  Dan orang yang mampu mempengaruhinya tidak lain tidak bukan Najib Razak.

Apakah seseorang Perdana Menteri gagal mengawal seorang Datuk Bandar, dan membiarkannya untuk terus bermaharaja-rela, menghina kebijaksanaan yang ada pada rakyat?  Maka sesetengah orang yang cuba mengelak daripada membincangkan perkara besar tidak berani untuk menegur Najib, malah tidak berani untuk mengingatkan bahawa Najib tidak harus disekat oleh Little Napoleon.  Kritikan yang menyasarkan Datuk Bandar cuma mempermainkan kebijaksanaan pembaca.

Sudah genap tiga tahun Najib (gambar) menjadi Perdana Menteri yang belum melepasi ujian Pilihan Raya Umum.  Ketika Abdul Razak meninggal dunia, Hussein Onn dilantik pada saat-saat yang genting ketika itu, mengadakan pilihan raya umum selepas dua tahun setengah.  Selepas Mahathir mengambil alih jawatan PM, beliau memohon mandat daripada rakyat dalam masa setahun.  Abdullah Ahmad Badawi yang menjadi bahan lawak hingga ke hari ini, paling berani, suasana "feel good" diwujudkan dalam masa empat bulan, meraih kemenangan dengan faktor "zaman pasca-Mahathir".

Najib pula menangguh PRU berkali-kali, sesungguhnya kerana kekalahan UMNO yang teruk pada 8 Mac 2008, yang tidak mudah untuk dipulihkan.  Tapi lebih penting, beliau memerlukan lebih banyak masa untuk memenuhi keperluan sekta dan aliran yang pelbagai dalam partinya.  Bagaimanapun, Najib telah mendakwa bahawa dirinya mahu menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih demokrasi - Mengapa teragak-agak pula dengan satu perhimpunan aman?

Politik di Malaysia tidak boleh lagi beroperasi dengan bergantung kepada akta zalim atau ketakutan terhadap kuasa.  Rakyat juga tidak boleh membenarkan diri untuk diperlakukan sewenang-wenangnya oleh politikus.  Dataran Merdeka bukan milikan khas untuk UMNO atau Barisan Nasional sahaja, tetapi ruang awam yang dimiliki oleh semua orang yang mencintai demokrasi, kebebasan, keadilan dan integriti.  "Occupy" Dataran Merdeka bukan sahaja bermakna melaksanakan hak asasi sebagai warga sivil, malah sebagai lambang merampas kuasa menafsir sejarah negara dari tangan pemerintah.  Ia tiada kena-mengena dengan individu bernama Anwar Ibrahim, Hadi Awang atau Lim Kit Siang, tetapi ia adalah berkaitan dengan peningkatan setiap warga sivil - proses mengikis ketakutan ketika terlibat dalam aktiviti politik.

Rakyat adalah peserta yang paling mustahak.  Sama ada Malaysia mampu membebaskan diri dari UMNO, ia bergantung kepada hasrat dan tindakan setiap orang.  Moga-moga satu hari nanti, kita mengucapkan tahniah sesama diri, "BERSIH dan Rakyat, syabas!"

Warga sivil yang baik wajar turun ke jalan raya.  Hak asasi tidak akan runtuh bagai durian dari langit. 

Sumber - Rakyat Marhaen

Tiada ulasan:

Catat Ulasan