Pengikut

Rabu, 29 Februari 2012

Ahli Parlimen Umno didapati bersalah buat tuntutan palsu

Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Abdul Rahman Bakri (gambar) didapati bersalah kerana membuat lapan tuntutan palsu berjumlah RM80,000.

Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Azhaniz Teh Azman Teh membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan.

Bagaimanapun hakim akan menjatuhkan hukuman jam 11 pagi esok.

Abdul Rahman dituduh mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Beliau dituduh membuat tuntutan sebanyak RM10,000 setiap satu di antara 21 Januari dan 4 Februari 2008 ketika menjadi Adun Sungai Ayer Tawar.

Antara tuntutan yang dinyatakan ialah membeli hadiah dan cenderamata serta penganjuran jamuan Program Motivasi Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili beliau.

Beliau juga didakwa membuat tuntutan menggunakan butiran palsu mengenai Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga KRT di DUN Sungai Ayer Tawar, Program Forum Perdana Peringkat Mukim Bagan Nakhoda Omar, program mesra rakyat dan Hari Keluarga Guru-guru KEMAS serta Program Mesra Rakyat dan sambutan Maulud Nabi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa manakala peguam Kamarul Hisham Kamaruddin mewakili Abdul Rahman.

Mahkamah ditangguhkan pada jam 3.40 petang ini. -Hrkh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan