Pengikut

Selasa, 1 November 2011

Hina hudud: Laporan polis terhadap Soi Lek

Kenyataan Presiden MCA itu juga mampu menghasut masyarakat bukan Islam lainnya untuk membenci hudud.

Badan Bukan Kerajaan (NGO) Jingga 13 hari ini mengemukakan laporan polis berhubung kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang dikatakan menghina hukum hudud.

Chua dalam kenyataan dipetik akhbar The Star 29 Oktober lalu berkata hukum hudud akan menjadikan negara ini mundur dan menakutkan pelabur asing.

Menyifatkannya sebagai biadap, Koordinator Jingga 13 Fariz Musa berkata kenyataan itu mengguris perasaan apabila seorang rakyat bukan Islam dengan mudahnya mempersoalkan pelaksanaan hukum hudud di sebuah negara yang majoritinya Islam dan mengaku menjadi model negara Islam.

Katanya, kenyataan Presiden MCA itu juga mampu menghasut masyarakat bukan Islam lainnya untuk membenci hudud.

Malah kedudukannya sebagai presiden parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) dikhuatiri akan menyebabkan salah faham besar antara agama dan kaum.

Rusuhan kaum, agama

“Kami khuatir kenyataan Chua itu akan menimbulkan kebencian agama dan kaum, selain menggugat dan mengancam keharmonian negara.

“Chua juga perlu serta merta memohon maaf atas kebiadapan itu kepada seluruh umat Islam di negara ini,” katanya.

Laporan itu dibuat wakil Jingga 13 Mohd Khairul Zaman Khairan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.

Beliau turut mendesak supaya akhbar The Star digantung lesen penerbitannya mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 atas sifat melulu dan tidak profesional ketua pengarangnya menyiarkan artikel sedemikian tanpa usul periksa.

“Kami mendesak Chua supaya mohon maaf secara terbuka kerana telah menghina Islam sebagai agama rasmi dan Yang Di-Pertuan Agong sebagai ketua agama,” katanya.

Katanya, masa 48 jam diberikan kepada Chua sebelum pihaknya mengemukakan memorandum di hadapan Pejabat MCA di sini Rabu depan.

Sementara itu, Fariz turut menyelar Umno yang selama ini bersikap diam diri apabila Chua mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Kalau mereka boleh adakan Himpunan Sejuta Umat (Himpun) untuk mempertahan akidah umat Islam dari murtad saya minta mereka jangan bersikap pilih kasih dalam hal ini,” katanya. -FMT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan