Ini adalah kerana, kini terdapat terlalu ramai menteri di JPM yang dilantik dan yang paling terbaru adalah presiden MIC G.Palanivel yang telah dilantik bagi menyama taraf beliau dengan timbalan presiden MIC S.Subramaniam, menteri sumber manusia. Palanivel sebelum ini hanyalah seorang timbalan menteri.
Menteri-menteri di JPM yang lain adalah Dr Koh Tsu Koon, Nazri Aziz, Nor Mohamed Yakop, Jamil Khir Baharom dan Idris Jala, manakala timbalan-timbalan menteri di JPM adalah Dr Masitah Ibrahim, Liew Vui Keong, Haji Ahmad Maslan beserta dengan S.Devamany.
Terlalu ramai menteri dalam JPM
Kami tidak faham kenapa JPM memerlukan begitu ramai menteri dan timbalan menteri untuk membantu perdana menteri menjalankan tugas-tugasnya, sedangkan JPM telahpun mempunyai seorang timbalan perdana menteri.
Selain daripada itu, kebanyakan menteri dan timbalan menteri di JPM adalah terdiri daripada calon-calon pilihanraya ataupun pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) yang telah kalah di dalam pilihanraya umum yang lalu, iaitu mereka-mereka yang telah ditolak rakyat. Buat apa nak melantik mereka yang telah kalah dan ditolak rakyat? Semata-mata kerana mereka ini adalah pemimpin dan presiden parti-parti dalam BN?
Pembaziran kerana duplikasi
Lebih buruk daripada itu, adalah terdapat lebih daripada 30 buah jabatan dan agensi di bawah JPM yang mana peranan dan bidang tugas masing-masing kesemuanya hamper menyamai kementerian-kementerian yang lain yang sedia ada. Ini bermakna, terdapat banyak duplikasi ataupun wujudnya dwi-peranan di antara kebanyakan kementerian-kementerian dan agensi-agensi di bawah JPM.
Kewujudan duplikasi ataupun dwi-peranan di antara JPM dan kementerian-kementerian tersebut menunjukkan seakan-akan timbulnya sebuah kabinet yang berada di dalam sebuah kabinet atau lebih dikenali di dalam bahasa Inggeris (a cabinet within a cabinet or an inner cabinet).
Ini bermakna, dengan adanya sebuah “kabinet” sendiri yang wujud di dalam JPM, perdana menteri boleh membuat sebarang keputusannya sendiri tanpa perlu rujuk sepenuhnya kepada menteri-menteri di kementerian-kementerian yang berkenaan.Pembiayaan wakil-wakil rakyat palsu
Selain daripada itu, di dalam JPM, terdapat juga sebuah agensi yang dipanggil Unit Penyelarasan Perlaksanaan (Implementation Coordination Unit – ICU) yang ditugaskan untuk mengurus serta membiayai kos-kos semua calon-calon BN yang kalah di dalam pilihanraya umum dan membayar gaji bulanan mereka selaku penyelaras (wakil rakyat bayangan) di kawasan-kawasan parlimen dan dewan undangan negeri yang pernah ditandingi mereka.
Yang juga kami tidak faham kenapa pula perlunya seorang penyelaras yang bertindak sebagai wakil rakyat bayangan sedangkan di kawasan-kawasan tersebut telahpun mempunyai wakil-wakil rakyat yang sah yang dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya umum? Dan yang kami fahami juga kesemua peruntukan parlimen dan dewan undangan negeri yang sepatutnya disalurkan kepada wakil-wakil rakyat yang sah disalurkan pula kepada para penyelaras-penyelaras BN ini.
Selain daripada perbelanjaan yang begitu boros sekali, adakah perlantikan sedemikian (penyelaras – wakil rakyat bayangan) berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan?
Tamakkan kemewahan
Dan kami juga amat yakin bahawa, defisit-defisit (lebihan perbelanjaan) belanjawan pada setiap tahun adalah disebabkan oleh keborosan yang meluas di dalam JPM. Kita tengoklah lawatan peribadi perdana menteri ke Kazakhstan bagi merisik dan bertemu dengan bakal saudaranya ekoran pertunangan anak perempuannya dengan anak lelaki sulong presiden Kazakhstan, telah dengan begitu senang mencecah lebih daripada RM1.0 juta.
Satu lagi lawatan singkat perdana menteri ke Australia baru-baru ini turut mencecah berjuta-juta Ringgit.
Ini dengan jelas menunjukkan tidak ada kawalan yang menyeluruh bagi memastikan perbelanjaan kerajaan tidak meningkatkan defisit. Pemborosan demi pemborosan berterusan pada setiap tahun semata-mata untuk memuaskan nafsu kemewahan dan ketamakan beberapa pihak yang tertentu, tetapi rakyat negara kita akan terus dihantui dengan bebanan kenaikan kadar inflasi yang telahpun mencecah di luar kawalan.
Mungkinkah jika sekiranya ramai lagi calon BN lagi yang akan kalah di dalam pilihanraya umum yang akan datang, adakah JPM akan menaikan lagi peruntukan belanjawannya bagi membiayai kesemua kegiatan-kegiatan yang membazirkan ini. -KLT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan