Pengikut

Selasa, 29 Mac 2011

Negeri BN Perintah Pun Tak Ada Air?

Krisis air paling teruk

TEMERLOH – Sekurang-kurangnya 10,000 penduduk di sekitar bandar Temerloh, Mentakab dan Seberang Temerloh termasuk hospital terputus bekalan air sejak tiga hari lalu hingga mendatangkan kemarahan mereka terhadap Jabatan Bekalan Air (JBA).

Sinar Harian difahamkan masalah yang berlaku di beberapa taman perumahan dan kampung tradisional itu adalah antara krisis air paling teruk di daerah ini sejak banjir besar penghujung 2007.

Malah, ada beberapa kawasan perumahan seperti Taman Setia Jasa, Seberang Temerloh mengalami gangguan bekalan air sejak 1 Mac lalu.

Tinjauan Sinar Harian ke beberapa kawasan perumahan dan kampung tradisional juga mendapati penduduk mula menzahirkan kemarahan dengan memasang kain rentang sebagai protes kepada JBA.

Di Taman Setia Jasa, seramai 1,800 penduduk memasang sembilan kain rentang yang mengandungi pelbagai ayat untuk meluahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap JBA berhubung masalah bekalan air itu.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Setia Jasa, Rashid Omar berkata, bekalan air terputus sejak empat hari lalu menyebabkan seramai 1,800 penduduk marah terhadap JBA.

“Kami minta JBA hantar empat lori tangki air sehari dengan tiga kali penghantaran. Setakat ini, mereka hanya hantar dua lori dengan dua kali penghantaran dan jumlah itu tidak mencukupi,” katanya.

Penduduk Taman Setia Jasa, Ayob Seman, 52, berkata, sudah lama masalah itu berlaku dan pada permulaan bekalan air kerap terputus, namun sejak Sabtu lalu, bekalan air langsung tiada.

“Ia sangat menyusahkan penduduk kerana kami tidak tahu bila masalah ini akan selesai,” katanya.

Seorang lagi penduduk dari taman sama, Ghazali Idris, 63, berkata, gangguan bekalan air di taman perumahan itu berlaku sejak 1 Mac lalu.

Menurutnya, gangguan itu berlaku pada sebelah petang hingga subuh, namun sejak Sabtu lalu, langsung tiada bekalan air.

“Saya memandu kereta sejauh 30 kilometer menuju ke Chenor untuk mengambil air Sungai Pahang setiap hari bagi kegunaan ahli keluarga,” katanya.

Masalah air di Taman Setia Jasa itu turut menyebabkan murid mengalami masalah lewat ke sekolah kerana terpaksa mandi di Jengka setiap hari.

“Saya ada tiga anak yang bersekolah. Mereka terpaksa bangun awal pagi, balik ke kampung di Jengka untuk mandi dan patah semula ke sekolah di Temerloh.

“Sampai bila masalah ini hendak selesai? Bayangkan penduduk yang ada anak kecil, lagi susah,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Datuk Chuah Boon Seong ketika dihubungi berkata, masalah gangguan bekalan air yang berlaku di kawasannya itu kerap berulang.

Menurutnya, ia membabitkan kawasan perumahan dan kampung tradisional dan jika JBA gagal menyelesaikan isu itu, ia sudah tentu mendatangkan kemarahan rakyat.

“Saya harap masalah itu dapat diselesaikan dengan kadar segera dan pastikan hal sama tidak berulang lagi kerana ia akan membebankan penduduk,” katanya.

Sinar Harian juga difahamkan bahawa antara kawasan di Mentakab yang mengalami gangguan bekalan air ialah Taman Bukit Bendera, Taman Rimba, Taman Saga dan bandar Mentakab.

Sementara di Temerloh ialah Seberang Temerloh, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah dan penduduk kampung tradisional dalam Mukim Bangau.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Khidmat Pelanggan JBA Pahang, Jalaini Jasman berkata, masalah itu berlaku berikutan paip utama bersaiz 600 milimeter (mm) yang membekalkan air dari loji Kampung Lubuk Kawah pecah.

Menurutnya, JBA mengenal pasti lokasi pecah di Kampung Megat Segama dan kerja-kerja baik pulih sudah selesai namun ia memerlukan sedikit masa untuk pulih sepenuhnya kerana berlaku tekanan udara yang tinggi dalam paip.

“Kita jangka bekalan akan pulih sepenuhnya pada petang esok (hari ini) dan buat sementara waktu, sebanyak tujuh lori tangki milik JBA Temerloh akan menghantar bekalan air kepada kawasan terbabit.

“Kita akan beri keutamaan kepada kawasan yang langsung tidak menerima bekalan berbanding kawasan tekanan rendah.

“Kawasan seperti hospital mendapat sokongan sepenuhnya daripada lori tangki JBA yang membuat penghantaran setiap hari,” katanya.

Jalaini berkata, buat masa ini, lebih kurang 10,000 penduduk terbabit membabitkan Taman Setia Jasa dan Taman Bukit Bendera.

- Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan