Pengikut

Khamis, 4 Ogos 2011

Ramadhan Dan watak Dakwahnya.

“DarkJustice ni memang bodoh dan jumud, terlalu taksub pada pengkianat bangsa anwar Ibrahim dan tok guru.... awak dan para penyokong pebankang semuanya bodoh”

“Oii orang Pakatan Rakyat kalau nak buat kacau, jangan duduk dalam Malaysia, pergi duduk di IRAQ kawan dengan puak syiah”
“Sedara tak payah susah2 bagi ceramah dekat myspace! Kami masuk cni bukan nak baca tulisan politik sedara dekat bulletine, kami nak realese tension… so stop le keje2 bodoh yang sedara dok buat ni”

Mustahil jika hati tidak marah apabila membaca komen-komen di atas. Rasa terhiris dan mudah sahaja untuk bertindak balas. Kita ada seribu satu sebab untuk mengiyakan tindak balas kita… sama ada dengan maki hamun semula, selinsing lengan atau kurangkan bercakap banyakkan tindakan, bagi sejibik… sebijik!

Tetapi secara khusus di bulan Ramadhan ini, Rasulullah mengajar sebaliknya.

Bukanlah puasa itu (hanya) menahan diri dari makan dan minum. Sebaliknya ia juga harus tertahan dari perkara lagha dan lucah. Apabila kamu dimaki atau diperbodohkan, berkatalah AKU BERPUASA (riwayat Ibn Khuzaimah dan al-Hakim / Sahih al-Targhib 1068)

Apabila kamu dimaki hamun, jangan balas dengan maki hamun. Apabila kamu diajak gaduh, jangan sahut dengan pergaduhan. Andai kamu digelar bodoh atau dianggap bodoh, jangan tergesa-gesa mahu menunjuk pandai. Sebaliknya berkatalah… AKU BERPUASA.

Apa ini? Mengapa Rasulullah SAW mengajar begini? Apakah Islam menyuruh kita untuk play victim? Mampukah yang bertahan, menjadi Muslim yang tidak jantan… dengan hanya berkata AKU BERPUASA?

JANTAN KITA

Ya, inilah persepsi kita. Bahawa yang jantan itu ialah pada yang pantang dicabar. Pada yang harimau tidur jangan diganggu. Itulah ukuran kejantanan kita.

Tapi hebat Nabi SAW bukan begitu. Sirahnya nyata berbeza. Ketika seorang lelaki datang kepada Baginda SAW meminta izin untuk menjadi Muslim yang berzina, apakah anda kira Rasulullah SAW tidak terguris dengan permintaan kurang ajar begitu?

Semasa seorang Badwi datang ke masjid, menjadi tetamu biadab yang kencing di dinding rumah Allah itu, apakah anda kira Rasulullah SAW tiada sifat marah? Tidak mampu marah adalah bacul, pasif ala si Luncai terjun dengan labu-labunya, biarkan! Biarkan! Pasif!

Tetapi Baginda SAW tidak marah bukan kerana tidak mampu marah. Baginda itu seorang yang amat ekspresif. Khutbahnya pernah memerahkan mata kerana begitu memaksudkan apa yang dikata.

Tetapi Baginda SAW itu gagah… gagah tulen iaitu pada keupayaan diri mengawal marah. Sahabat melenting dan mahu membelasah si Badwi itu, namun Baginda menegah.

Biar dia habiskan urusannya!”, kata Baginda tenang. Lantas Baginda SAW meminta air dan sendiri membersihkannya. Itulah jiwa kuat yang tulen.

Bukanlah gagah itu pada gagahnya orang bergusti. Akan tetapi gagah itu ialah pada upaya mengawal diri ketika marah!

Kita mengukur jantan diri dan hebat berjuang kalau kita pandai mengamuk. Tetapi Baginda SAW mengajar bahawa yang gagah itu ialah pada upaya mengawal diri. Khususnya ketika marah.

Jangan pesimis, Covey menyebutnya sebagai PROAKTIF.

Inilah latihan puasa. Ramadhan datang dengan pakej latihan untuk mengajar kita cara mengawal diri.

LATIHAN RAMADHAN

Bukan puasa kerana tiada makanan. Tetapi puasa kerana melatih diri untuk terkawal. Tidak makan di depan makanan, kerana Tuhan. Bukan bertahan dari membalas kerana lemah dan berjiwa pondan. Tetapi belajar untuk memilih tindakan.

Marah itu perlu, sesekali ia memang perlu. Tapi kalau sentiasa marah dan penuh bangkangan, hingga setiap patah kata hanya mengungkapkan kemarahan dan ketidak setujuan… ia tidak tepat dengan contoh Baginda Junjungan.

Rasulullah SAW pernah marah, tetapi marahnya diredakan dengan bermesyuarat dengan sahabat mencari yang terbaik pada tindakan. Sebab marah itu emosi. Bila kita emosional, kita tidak rasional. Bertindak secara tidak rasional itulah yang sering mengundang sesalan.

Wahai orang-orang yang beriman, jika datang seorang fasiq kepadamu membawa satu berita, siasatlah terlebih dahulu. Agar jangan nanti kamu bertindak ke atas suatu kaum dengan kejahilan. Lantas semua itu akan mengheret kamu kepada penyesalan atas apa yang kamu lakukan” (Al-Hujurat : 6)

Bagaimana mahu menyiasat? Bagaimana mahu bertindak dengan tepat? Andai terlalu mudah melenting dan sentiasa membalas berita dengan tindakan tanpa usul periksa.

Inilah yang diajar oleh Ramadhan. Mengajar Muslim untuk kembali mampu mengawal diri. Tidak mudah teransang. Tidak terburu-buru mengambil tindakan.
Khusus bagi pendakwah yang memperjuangkan Islam. Tugas kita bukan mencegah kemungkaran semata, tetapi harus berusaha mengubah suasana.

“Barangsiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran, maka ubahlah ia dengan tanganmu…”

Apa yang dituntut bukan hanya menyatakan ketidak setujuan dan penentangan, tetapi harus berusaha mengubahnya. Sirah mengajar kita bahawa jarang benar perubahan dapat dilakukan jika kita hanya tahu marah dan menunding salah.

TELADAN HUDAIBIYAH

LIhat sahaja kerenah orang Mekah dalam perjanjian Hudaibiyah. Siapa yang tidak marah dengan permintaan mereka? Sewenang-wenangnya kelihatan seperti Win-Lose situation.

Kalau orang Mekah lari ke Madinah, ia mesti dipulangkan ke Mekah semula. Jika orang Madinah datang ke Mekah, ia tidak perlu dipulangkan ke Madinah”… orang Mekah dengan sombong meminta. Panas telinga.

Mana boleh tulis Rasulullah. Kalau tertulis Rasulullah, maknanya kami mengiktiraf kamu dan kenalah kami ikut kamu. Tulis Muhammad bin Abdullah, sudah!”, ego orang Mekah di depan baginda Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW ada segala sebab untuk bersikap defensif. Gelaran Rasulullah bukan anugerah sultan atau mana-mana raja Arab. Ia kurniaan Allah. Tiada sebab untuk tidak bertegas mempertahankannya.

Letakkan diri kita di kasut sahabat yang hadir ke perjanjian itu… mahunya tidak marah?

Tetapi bijaksana dan gagahnya Rasulullah SAW mengawal diri dari marah, tersinggung dan rasa dihina, membolehkan baginda memandang jauh, penuh rasional dan akhirnya mampu memisahkan di antara kepentingan substance dan form. Perjanjian Hudaibiyah berjaya menawarkan apa yang paling penting bagi sebuah dakwah dan perjuangan iaitu gencatan senjata! Bersetuju menjaga keamanan.

Inilah yang diperlukan oleh dakwah. Keamanan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Baginda SAW untuk berdakwah, bukan hanya di sekitar Mekah dan Madinah, malah utusan sampai ke seluruh empayar dan maharaja yang ada. Dakwah jadi efektif hasil keamanan. Keamanan dicapai hasil kebijaksanaan Rasulullah SAW mengutamakan substance dari form.

Hal inilah yang perlu kita teladani. Suatu kejayaan besar, terbit dari kejayaan menguruskan perkara yang amat basic, iaitu keupayaan mengawal diri, pro aktif dan tidak cepat melatah.

Pendakwah perlu bersungguh-sungguh menghayati mesej ini. Masyarakat sudah tahu dengan jelas apa yang kita tidak suka. Tetapi mereka belum nampak apa yang kita ada dan sejauh mana kita upaya. Bahasa dakwah kita harus banyak yang bersifat menerang dan berdamping. Memujuk bukan mengutuk. Bahasa rahmah dan bukan amarah.

Bahasa ceramah, bahasa akhbar, bahasa majalah, bahasa dakwah… Ramadhan mengajar kita agar menyampaikannya dengan penuh hemah dan terkawal.

Jantan dan gagah di sisi Islam itu lebih halus dan berkuasa, dari yang disangka! Kawal diri, kamulah si gagah itu!

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi

(segala yang baik itu dari Allah dan yang buruk itu dari kejahilan diriku sendiri)

Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan