Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu (gambar) berkata, Tuanku Mizan Zainal Abidin perlu menggunakan kuasa baginda ke atas suruhanjaya itu selain mengambil tindakan ke atas pengerusi dan timbalan pengerusinya berhubung isu memanipulasikan butiran pengundi, didakwa pembangkang memihak kepada parti yang memerintah.
Beliau mengecam penjelasan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof semalam bahawa kesilapan-kesilapan yang dilaporkan adalah berpunca daripada masalah teknikal dan maklumat laman web bukan terkini.
Mohamad berkata alasan itu tidak boleh diterima kerana wujud begitu banyak kecelaruan dalam daftar pemilih.
“Kami bercakap mengenai ribuan dan ribuan kesilapan, pendaftaran berganda, pemastautin tetap diberikan hak untuk mengundi dalam sekelip mata... begitu banyak.
“Kami juga ada kes di mana seorang pengundi atas nama ‘Kampung Baru’ dan ini bukan kesilapan-kesilapan terpencil... di Selangor sahaja ada beribu-ribu kes,” kata beliau pada sidang media di ibu pejabat parti di sini pagi ini.
Mohamad juga berkata kekurangan yang didedahkan oleh wakil rakyat pembangkang telah menyebabkan keyakinan rakyat terhadap integriti kepimpinan semasa SPR mencecah paras paling buruk.
Keadaan itu kata beliau, boleh menyebabkan keraguan dan rasa tidak puas hati di kalangan pengundi apabila keputusan pilihan raya umum akan datang.
“Jadi kami berharap Agong akan mengambil tindakan ke atas pengerusi (SPR) dan timbalannya yang telah gagal memberi keyakinan kepada rakyat bahawa proses pilihan raya adalah bebas dan adil,” kata Mohamad.
“Jika rakyat menolak keputusan pilihan raya, maka ia boleh menjejaskan keselamatan kebangsaan. Jadi, mereka yang bertanggungjawab mesti mengambil tanggungjawab penuh dan memastikan bahawa daftar pemilih adalah bersih,” kata beliau.
Mohamad memberitahu PAS dan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat (PR) tidak akan merungut jika Barisan Nasional (BN) kekal berkuasa ataupun memperoleh lebih banyak kerusi dalam pilihan raya umum, tetapi kemenangan itu perlu diperoleh menerusi pilihan raya yang adil dan bersih.
Beliau juga mengecam SPR yang sentiasa melabel PAS dan wakil rakyat-wakil rakyat Pakatan Rakyat sebagai “pembangkang” dan mahu suruhanjaya itu melihat kesemua parti politik sebagai pelanggannya.
“Khususnya Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar... beliau selalu merujuk kami sebagai pembangkang. Sebagai sebuah badan bebas, badan yang berkecuali mengendalikan pilihan raya di Malaysia, SPR mesti melayan setiap orang, meskipun dari BN, sebagai pelanggan yang samarata,” katanya lagi.
Pada sidang media semalam, SPR menafikan dakwaan bahawa badan pengurusan pilihan raya itu sengaja membenarkan pemastautin tetap menjadi pengundi yang sah.
Sebaliknya, Aziz berkata, ia hanya kesilapan teknikal yang berlaku semasa proses pendataan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Bagaimanapun jelas beliau, pihaknya difahamkan Pakatan Rakyat telah menyemak semakan daftar pemilih melalui laman web JPN dan bukan Sistem Pengkongsian Maklumat Antara Agensi (Alis) yang datanya lebih lengkap dan tepat.
Justeru jelas, Aziz, pihaknya telah melakukan semakan dengan Alis dan mendapati pemastautin tetap yang didakwa Pakatan Rakyat adalah warganegara yang sah serta layak untuk mengundi.
“Dalam daftar pemilih kita ada lebih kurang 12.3 juta pengundi dan sudah tentu akan berlaku kesilapan sana dan sini, seluruh dunia pun ada masalah yang sama... tiada dunia yang daftar pemilihnya sempurna.
“SPR bersihkan daftar pemilih hari-hari, ada yang meninggal dunia, ada yang lucut warganegara, ada yang nama bertindan dan sebagainya... kita lakukan semakan hari-hari dan kalau ada keraguan kita akan semak dengan JPN,” katanya lagi. - TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan