Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu meminta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak masuk campur dalam politik parti sebaliknya tumpu kepada tanggungjawab mereka dalam mempertahankan keamanan negara.
Mohamad berkata, ATM yang berada bawah naungan Yang di-Pertuan Agong sepatutnya menumpukan kepada fungsi sebenar mereka sebagai tentera dan bukannya libatkan diri dalam politik kerana ia akan beri kesan negatif kepada negara.
“ATM selama ini ada rekod cemerlang dalam menjaga keselamatan dalam negara. Oleh itu, ATM perlu kekalkan prestasi mereka dan tidak libatkan diri dengan politik.
“Sepatutnya, isu begini, biar menteri, Kementerian Pertahanan atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sahaja yang bagi komen atau maklum balas, dan bukannya ATM. Ini kerana, negara kira mengamalkan demokrasi dan perlembagaan, tentera berkecuali dalam politik,” katanya.
Menurutnya, sebagai badan beruniform, ATM tidak layak untuk memberi sebarang komen berikutan bimbang ia akan cenderung ke arah mana-mana parti.
“Saya harap agar bekas tentera yang membuat pendedahan itu akan disiasat SPR berhubung kenyataan mereka itu,” katanya.
Terdahulu, empat bekas anggota ATM tampil dengan mendedahkan bahawa mereka telah dimanipulasi untuk melaksanakan sistem undi pos ketika mereka berkhidmat sekitar tahun 70-an dan 80-an.
Panglimanya, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin tampil memberi kenyataan menyangkal dakwaan bekas empat anggotanya bahawa mereka telah dimanipulasi ketika melaksanakan undi pos sepanjang tempoh berkhidmat dengan pasukan itu.
Menurutnya, pihaknya telah menyiasat dakwaan itu dan mendapati ia tidak benar.
Bagaimanapun, beliau tidak akan menyalahkan empat bekas anggota itu sebaliknya bimbang mereka dijadikan ‘alat’ Pemuda Pas yang mahu mengambil kesempatan supaya mereka menentang bekas organisasi yang pernah diwakili sebelum ini. -SinarHarian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan