Pengikut

Rabu, 20 Julai 2011

‘Usir keluar kerajaan diktator’

Sebuah kerajaan yang tidak mahu mendengar rintihan rakyat dan enggan mengambil sebarang tindakan bukan sebuah kerajaan untuk rakyat. - N H Chan

Seorang bekas hakim tersohor menyifatkan sesebuah kerajaan yang tidak mahu mendengar pandangan dan luahan hati rakyatnya sebagai sebuah kerajaan diktator dan layak diusir keluar.

N H Chan yang menulis dalam blok http://wwwloyarburok.com hari ini berkata, sebuah kerajaan yang tidak mahu mendengar rintihan rakyat dan enggan mengambil sebarang tindakan bukan sebuah kerajaan untuk rakyat.

Mengenai Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) beliau berkata, Bersih merupakan sebuah gerakan massa, tidak menyokong mana-mana parti politik dan bukan kepunyaan mana-mana parti politik.

“Bersih merupakan sebuah gerakan yang tidak mengendahkan fahaman politik. Tetapi ia menyokong sistem demokrasi iaitu sebuah kerajaan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat,” jelas beliau.

Chan berkata, apabila sesebuah kerajaan tidak memperdulikan masalah dan rungutan daripada rakyat, dan tidak mengambil sebarang tindakan untuk mereka maka ia bukan kerajaan untuk rakyat.

“Dan sebuah kerajaan bukan untuk rakyat, bukan sebuah kerajaan demokratik, ia sebuah kerajaan diktator,” tegasnya.

Menurut beliau, mesej yang disampaikan Bersih, yang menjadi mesej rakyat, adalah kuat dan jelas, “kami, rakyat di negara ini, tidak mahu sebuah kerajaan diktator.”

“Oleh kerana kami tidak mahu sebuah kerajaan diktator, pada pilihan raya umum akan datang kami akan mengundi supaya kerajaan ini diusir keluar dari pentadbirannya dan digantikan dengan pakatan baru, malahan sampai ke tahap mengundi untuk pembangkang.

“Jika kerajaan baru juga gagal bertindak adil terhadap rakyat maka kita akan gantikan mereka pada pilihan raya yang seterusnya,” katanya.

Mengenai tuduhan para peserta Bersih terpengaruh dengan ideologi komunis yang cuba dihidupkan semula beliau berkata, mungkin pihak polis dan pemimpin kerajaan tidak sedar bahawa ideologi komunis sudah lama runtuh dan berkubur.

“Sistem komunis sudah runtuh bersama runtuhnya tembok Berlin dan berpecahnya negara-negara di bawah Kesatuan Soviet Rusia.

“Tidak ada lagi ancaman dari pengluasan fahaman komunis dari komunis Cina kerana negara China telah bertukar kepada sistem ekonomi kapitalis dan kini muncul sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat,” katanya. - FTM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan