Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya menolak sekeras-kerasnya sistem biometrik kerana tidak menjamin elemen satu orang satu undi semasa pilihan raya.
“Kita perlu menentang sistem ini. Sudah menjadi tanggungjawab rakyat memastikan negara bersih dan adil,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran slogan Selangorku di sini malam tadi.
Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan bersetuju memberi peruntukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mewujudkan sistem biometrik dalam mengesahkan pengundi yang sah pada pilihan raya.
Beliau berkata, ia adalah salah satu usaha untuk memastikan pilihan raya di negara ini dijalankan secara telus dan adil.
“Pelaksanaan sistem biometrik ini juga akan dapat mengatasi dakwaan-dakwaan bahawa wujudnya pengundi hantu pada pilihan raya di negara ini,” katanya.
Najib juga berkata kerajaan bersetuju memberi peruntukan kepada suruhanjaya itu bagi mewujudkan sistem biometrik dalam mengesahkan pengundi yang sah pada pilihan raya.
Salah satu tuntutan Bersih 2.0 baru-baru ini ialah menggunakan dakwat kekal, yang sepatutnya digunakan ketika pilihan raya umum 2008 tetapi dibatalkan pada saat-saat akhir.
Dalam pada itu, laporan Sinar Harian hari ini memetik Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya masih melakukan kajian secara terperinci mengenai sistem biometrik.
Kata beliau, segala aspek berkaitan mengenai keupayaan, aplikasi, teknikal, kesan dan kosnya masih di peringkat kajian.
“Kita bekerjasama dengan pakar yang terlibat bagi memastikan keupayaan sistem ini berkesan apabila dilaksanakan kelak.
“Sistem biometrik yang digunakan imigresen berlainan dengan SPR kerana penggunaan kami adalah untuk pilihan raya,” kata beliau lagi.
Wan Ahmad berkata, sistem tersebut telah dikaji sejak 2010 oleh pakar yang dilantik bagi memastikan keupayaan dan tempoh yang dapat digunakan.
Akhbar yang sama memetik Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, sistem biometrik mampu membuktikan pilihan raya negara ini telus dan adil.
Seiring dengan pendapat Dr Wan Azizah, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata sistem biometrik lebih berisiko untuk dimanipulasi pihak berkepentingan walaupun ia boleh melakukan proses pengesahan pengundi secara elektronik.
Katanya, perkara ini lebih ketara memandangkan pemberian kerakyatan kepada warga asing semakin berleluasa kebelakangan ini.
Laporan Berita Harian memetik Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Datuk Jariah Mod Said berkata sistem biometrik jabatannya, yang akan digunakan oleh SPR, untuk pengesahan pengundi kebal daripada manipulasi dan tidak boleh ditembusi oleh pihak berkepentingan untuk menipu ketika pilihan raya. -TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan