Pengikut

Jumaat, 17 Jun 2011

Rakyat perlu bantah Mugabe, Omar jejak kaki ke Malaysia

Rakyat Malaysia digesa membantah kehadiran Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe dan Presiden Sudan, Omar Al Bashir daripada menjejakkan kaki ke negara ini.

Pengarah Biro Antarabangsa KEADILAN, Yusmadi Yusuf berkata, kedua pemimpin berkenaan yang dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), dikenali sebagai pemimpin diktator yang terlibat dengan jenayah kemanusiaan.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Menteri Luar, Kohilan Pillay dalam laporan AFP baru-baru ini bahawa Mugabe dan Bashir adalah antara tujuh pemimpin Afrika yang akan menghadiri Dialog Antarabangsa Langkawi dari 19 hingga 21 Jun.

Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad- seorang sahabat karib Mugabe-juga dijadual menyampaikan ucapan dasar di mesyuarat tersebut yang akan berlangsung di Putrajaya.

“Lawatan mereka perlu dibantah atas hak demokrasi kerana boleh memberikan imej buruk kepada negara.

“Kita perlu menyeru kepada pertubuhan antarabangsa dan rakyat semua supaya membantah sekeras-kerasnya kehadiran mereka,” ujar Yusmadi yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau.

Katanya, beliau tidak melihat kewajaran kerajaan Malaysia menjemput kedua-dua pemimpin diktator berkenaan, selain memenuhi undangan ‘kelab diktator Mahathir’.

“Saya tidak nampak sebab lain mereka menjemput Mugabe dan Bashir datang ke Malaysia selain daripada memenuhi kelab diktator yang menjadi agenda utama semasa pemerintahan Mahathir.

“Orang yang mengikut jejak langkah corak pentadbiran Mahathir sekarang adalah Najib,” kata Yusmadi ketika dihubungi Keadilandaily.com.

Tambahnya, langkah untuk menjemput Mugabe dan Bashir mencerminkan bahawa kerajaan tidak memahami dan menghormati prinsip demokrasi.

“Kerajaan Malaysia tidak faham apa itu demokrasi, kehadiran mereka membuktikan kerajaan tidak berminat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara demokrasi tapi malangnya mereka kini meneruskan agenda Mahathir sebagai pemimpin autokrasi.

“Apa yang berlaku sekarang, pemimpin negara mahu kekalkan pemerintah regim bagi menguasai negara,” kata Yusmadi lagi.

Mugabe sebelum ini dikenali sebagai pemerintah zalim yang sanggup melakukan pembunuhan dan seksaan terhadap rakyat, teruatama kepada para penentangannya.

Beliau dikatakan pernah menembak mati sepasang suami isteri selepas menembak mati anak lelaki mereka.

Bashir pula berdepan dengan waran tangkap ICC berhubung tuduhan penghapusan kaum, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di kawasan barat Sudan.

Waran tersebut telah menjejaskan pergerakan Bashir di luar Sudan. ICC mengarahkan negara-negara anggotanya supaya menangkap Bashir jika beliau melawat negara berkenaan, tetapi Malaysia bukan negara anggota ICC.

-KeadilanDaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan