Pengikut

Selasa, 21 Jun 2011

"Perwakilan orang asli diperlakukan macam burung tekukur..."

Meskipun ia bukan sesuatu yang terlalu asing, apabila ucapan dari kaum asli diselitkan ke dalam aturcara konvensyen PKR, namun ia tetap mencuit hati apabila Fatimah anak perempuan Bahsen, berketurunan Semai tampil untuk memberi ucapan 10 minitnya di depan kira-kira 4,000 penyokong PKR dalam Konvensyen Pilihan Raya, semalam.

Bermula dengan mendakwa dirinya "berdebar", kerana "fisrt time" (kali pertama berucap), Fatimah (gambar kiri) yang berusia 37 tahun telah mencungkil gelakan dari bawah pentas. Ucapan ringkasnya kemudian dicelah dengan sorakan dan tepukan yang tidak berhenti-henti.

Fatimah mempersoalkan, "Saya sangat sangat terasa terkilan dan terharu. Satu, kami (orang asli) di Malaysia ini, dianggap sebagai bangsa 'lain-lain'! Adakah orang asli datang dari mana? Saya ingin bertanya kepada semua, orang asli datang dari mana? Mengapa orang asli dikategorikan ke dalam bangsa lain-lain?"

Fatimah seterusnya berkata, sudahlah tanah orang asli diceroboh, malah dikategorikan sebagai bangsa lain-lain pula dalam ruang kaum. Beliau menyeru agar PKR mendekati masyarakat orang asli jikalau ingin menang dalam PRU ke-13, sambil memberi amaran, "Jangan semasa pilihan raya saja mencari orang asli di pelusuk mana sahaja, tetapi bila pilihan raya sudah habis, orang asli pun disimpan ke tepi!"

Diperlakukan bagai burung tekukur

Fatimah kemudian menceritakan pengalaman dirinya yang pernah dilantik sebagai Ketua Wanita UMNO peringkat bawahan, semasa zaman Abdullah Ahmad Badawi menyandang jawatan Perdana Menteri. "...semasa pergi mesyuarat, perwakilan orang asli macam mana? Duduk di kerusi, diberi makan, lepas tu jadi macam burung apa?"

"Ok, pandai, macam burung tekukur," Fatimah sekali lagi mengelakkan hadirin apabila meniru gerak-geri burung tekukur mengangguk. Beliau berkata, orang asli diajar agar tidak menyokong parti pembangkang, sebaliknya diberitahu bahawa "UMNO-lah yang membela masyarakat orang asli".

Beliau sekali lagi mencetuskan sorakan, "Tetapi orang asli sekarang sudah sedar! Bukan jadi katak di bawah tempurung lagi! Orang asli sekarang nak duduk di atas sofa!"

Fatimah mengulangi amarannya kepada PKR agar tidak lupa masalah orang asli jikalau menang dalam pilihan raya, "Jika dipulaukan orang asli, orang asli akan juga pulaukan parti-parti sebegini!"

Sebelum mengundur diri, beliau sempat menyindir slogan 1 Malaysia yang dilaungkan Perdana Menteri Najib Razak, dengan menyatakan permintaan orang asli. "Tanah orang asli harus diwartakan! Itu yang orang asli nak. Dia bukan nak bangunan-bangunan yang besar. Dia cuba nak tanah. Itupun bukan tanah satu Malaysia..."

Suaranya terus ditenggelami sorakan, sebelum beliau menegaskan sekali lagi, "Jangan mengongkong orang asli!... Orang asli nak kemajuan semua macam masyarakat lain!"

Baca: Azmin beri 48 jam kepada Timbalan Pengerusi SPR: "Jawab, atau letak jawatan!"

Baca: Konvensyen Pilihan Raya PKR Anwar: 5% lagi untuk robah lanskap politik

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan