Pengikut

Selasa, 21 Jun 2011

"DEMI RAKYAT: MAHASISWA BANGKIT"

Dokumen Harapan Baru Mahasiswa adalah manifestasi usaha Pakatan Rakyat khususnya Angkatan Muda Keadilan dalam memberikan tawaran yang lebih baik kepada mahasiswa Malaysia selaku tonggak masa depan Negara. Di bawah pemerintah sedia ada, mahasiswa hanya menjadi tunggangan kepentingan politik dan dilayan sekadar melepaskan batuk di tangga. Pelbagai ugutan diberikan kepada mahasiswa jika berlainan pandangan dengan pemerintah. Dasar pengajian tinggi yang menekan dan mengongkong mahasiswa membantutkan potensi besar mahasiswa selaku pelapis Negara.

Lebih malang apabila isu pembiayaan pengajian tinggi yang melibatkan PTPTN dan biasiswa seperti JPA menjadi dilema besar kepada generasi muda Malaysia meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Masalah selepas graduat seperti bebanan hutang dan masalah pengangguran serta bekerja tidak mengikut taraf pendidikan menjadi dilema utama kepada para mahasiswa.

Mahasiswa yang masih menuntut dan graduan segar sekitar 1.5 juta orang. Kelompok ini adalah kelompok yang paling terkesan dgn tekanan ekonomi dan dasar pengajian tinggi negera yang tidak berpihak kepada mereka. Lebih penting adalah kerana kelompok terpelajar ini bakal keluar dan menjadi kelompok penting yang menjadi penentu hala tuju negara.

Sehubungan dengan itu siri wacana Meja Bulat Dokumen Harapan Baru Mahasiswa telah dijalankan bagi mendapat maklum balas dan input daripada kepimpinan mahasiswa dan pihak berkaitan menerusi pendekatan "Bottom-Up". Wacana ini, sebenarnya adalah mengambil susulan daripada buku jingga, yang kemudiannya memberi fokus kepada isu mahasiswa yang dinamakan Dokumen Harapan Baru Mahasiswa Malaysia, dengan bertemakan "Demi Rakyat: Mahasiswa Bangkit". Hasil daripada Wacana Meja Bulat ini, Biro Mahasiswa Angkatan Muda Keadilan telah mendapat input dan buah fikiran pihak berkepentingan terutama pimpinan mahasiswa dan badan gerakan mahasiswa utama Malaysia dan telah menggariskan komitmen Angkatan Muda Keadilan di dalam menjuarai isu yang dinyatakan dengan mandat Pakatan Rakyat sebagai kerajaan persekutuan.

Garis Besar Dokumen Harapan Baru Mahasiswa:

1. AUTONOMI UNIVERSITI DAN KEBEBASAN AKADEMIK

Mutu dan kualiti Universiti berkait rapat dengan autonomi dan kebebasan akademik universiti. Adalah malang apabila institusi pendidikan tinggi ini menjadi lubuk menyebarkan pengaruh parti politik tertentu semata-mata. Dasar, hala tuju dan aktiviti universiti termasuk kajian akademik, kenaikkan pangkat kakitangan universiti, pelantikan Naib Canselor hinggakan aktiviti persatuan mahasiswa semuanya dikawal dan disekat mengikut kehendak pihak-pihak tertentu.

DEMI MAHASISWA, Angkatan Muda Keadilan komited untuk memberikan kebebasan automoni kepada universiti terutama di dalam soal pentadbiran, penyelidikan akademik, dan ruang kepada mahasiswa untuk bergerak. Proses pemilihan Naib Caselor dan kenaikkan pangkat kakitangan termasuk pensyarah adalah ditentukan oleh pihak panel yang terdiri daripada pakar-pakar.

2. MEMANSUHKAN AUKU

Akta Universiti Dan Kolej Universiti (AUKU) yang digubal pada 1971 hanya dilaksanakan kerana ketakutan pihak pemerintah kepada kebangkitan gerakan mahasiswa di era 1970-an yang berjuang bagi rakyat terbanyak dalam isu kemiskinan. Walaupun AUKU yang telah dipinda sebanyak tiga kali iaitu pada 1975, 1983 dan terbaru adalah pada 2009, namun tidak ada perubahan yang signifikan, AUKU tetap menjadi dilema mahasiswa bagi tujuan untuk menakutkan.

DEMI MAHASISWA, Angkatan Muda Keadilan percaya bahawa seperti undang-undang zalim lain termasuk ISA dan Akta Mesin Cetak, AUKU telah disepakati oleh pimpinan Pakatan Rakyat untuk dimansuhkan sama-sekali.

3. MANSUH BUNGA PTPTN DAN POLISI BAYARAN BALIK 6 BULAN SELEPAS KERJA TETAP

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang ditubuhkan sejak 1997 membelenggu mahasiswa dan graduan segar dengan bebanan hutang PTPTN serta kadar bunga yang dikenakan. Peluang pekerjaan yang terhad dan kadar gaji yang rendah membingungkan mahasiswa dan menyusahkan graduan segar. Lebih malang pihak PTPTN mengambil tindakan keras dengan menguatkuasa senarai hitam Imigresen bagi peminjam.

DEMI MAHASISWA, Dokumen Harapan Baru Mahasiswa Malaysia memberikan komitmen Angkatan Muda Keadilan bagi meringankan beban Mahasiswa dan Graduan segar dengan polisi pinjaman tanpa faedah dan membenarkan pembayaran semula enam bulan setelah peminjam mendapat pekerjaan tetap.

4. PERUNTUKKAN BIASISWA DIBESARKAN DAN PERBAIKI PROSES PEMILIHAN.

Saban tahun Biasiswa JPA menjadi isu hangat yang tidak mampu diselesaikan pemerintah Ruang penerima biasiswa yang terhad tidak dapat menampung jumlah pemohon yang ramai. Sebagai contoh, pada tahun lepas (2010) seramai 18,690 telah memohon bagi mendapatkan biasiswa JPA, namun demikian hanya seramai 1829 atau 9.8 peratus pemohon sahaja berjaya mendapatkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

DEMI MAHASISWA, ruang dan peruntukkan kepada biasiswa akan dibesarkan bagi membolehkan lebih ramai pelajar cemerlang mendapat biasiswa bagi melanjutkan pelajaran serta prosedur pemilihan penerima biasiswa yang lebih adil yang mampu menyeimbangi kuota dan merit.

DEMI MAHASISWA, mengambil peruntukkan perlembagaan Artikel 153 (3) akan dikaji dan meneliti mekanisma pemberian biasiswa kepada seluruh pelajar bumiputera seperti yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia.

5. PELUANG PEKERJAAN GRADUAN SECARA MAMPAN

Jumlah pengangguran Malaysia telah mencecah seramai 400,000 orang. Daripada jumlah ini kadar pengangguran dikalangan Graduan Segar mencecah kadar 7.2%. Isu ini turut berkait rapat dengan graduan bekerja tidak mengikut taraf pendidikan. Masalah pengangguran ini menyumbang faktor daripada aspek ekonomi yang lembab, dasar ekonomi yang salah, rasuah dan tatakelola kerajaan yang rosak.

DEMI MAHASISWA, Angkatan Muda Keadilan komited merubah tatakelola institusi perkhidmatan awam dengan mengambil kira faktor pretasi dan ketrampilan.
DEMI MAHASISWA, prestasi ekonomi Malaysia ditingkatkan dan usaha menghapus rasuah mampu meningkatkan peluang pekerjaan kepada graduan.

6. WIFI, PENGANGKUTAN AWAM SECARA PERCUMA DAN KOLEJ KEDIAMAN DITINGKATKAN.

Kemudahan asas mahasiswa seperti kebajikan dan pengangkutan masih ditahap yang rendah. Rata-rata mahasiswa terutama mahasiswa tahun akhir tidak mendapat kediaman, lebih malang masih banyak universiti awam dan swasta yang tidak lengkap kelengkapan kediaman. Begitu juga pengangkutan awam yang teruk dan kemudahan WIFI yang masih sukar didapati.

DEMI MAHASISWA, kolej dan tempat kediaman akan ditingkatkan kualiti dan diberikan kepada semua penuntut universiti awam.
DEMI MAHASISWA, perkhidmatan WIFI percuma dan kualiti kelajuan WIFI ditingkatkan kepada seluruh penuntut IPTA dan IPTS.
DEMI MAHASISWA, pengangkutan awam utama seperti bas, keretapi dan transit ringan diberikan percuma.

*Dokumen Harapan Baru Mahasiswa Malaysia yang disediakan Biro Mahasiswa, Angkatan Muda Keadilan Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan