Pengikut

Khamis, 23 Jun 2011

Dosa besar seleweng wang zakat

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Md Hashim Yahya berkata adalah menjadi dosa dan kesalahan besar kepada mereka yang menyalahgunakan wang zakat. Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang dakwaan penyelewengan wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi pembiayaan kos guaman Menteri Agama, Datuk Jamil Khir Baharom dan Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Ali.

“Kalau betul, ia tak sepatutnya berlaku kerana duit zakat ini adalah untuk perbelanjaan untuk asnaf yang lapan, yang diberikan kepada mereka yang patut dapat.

“Kalau salahguna wang zakat, itu adalah satu salahguna kuasa. Maknanya tidak ada amanah kepada Allah. Jika pembiayaan untuk bayaran peguam masuk asnaf yang mana?,” ujarnya ketika ditanya Keadilandaily.com.

Asnaf yang lapan terdiri daripada golongan miskin, amil, muallaf, riqab (seseorang yang terbelenggu tanpa kebebasan), gharimin (penghutang muslim), fisabillillah (Orang yang berjuang kerana Allah) dan Ibnus Sabil (musafir).

Tambah ulama terkenal ini, penyelewengan wang zakat yang diberikan kepada selain golongan tersebut merupakan satu pengkhianatan besar kepada umat Islam dan perlu diambil tindakan.

“Wang zakat dijelaskan di dalam Al Quran perlu diagih kepada asnaf yang sepatutnya dibelanjakan. Ia tak boleh dibelanja sesuka hati, tidak boleh diambil oleh penguasa dan pihak bertanggungjawab menguruskannya.

“Selain asnaf yang lapan, ia adalah satu penyelewengan sekiranya wang zakat diberikan kepada mereka yang tidak sepatutnya. Ia merupakan satu kesalahan dan dosa yang cukup besar,” katanya lagi.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution semalam mendedahkan penyelewengan wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebanyak RM32 ribu.

Jumlah itu dikatakan diguna bagi membiayai yuran guaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Ali.

Ia dikatakan bagi membiayai kos guaman dua individu berkenaan kerana tidak memulakan pendakwaan terhadap Saiful Bukhari dalam kes Qazaf membabitkan kes Liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu didedahkan sendiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah semalam, yang mengakui yuran guaman Jamil Khir dan Che Mat Ali dibayar dengan wang peruntukan berkenaan.

Sementara itu, firma guaman Zainul Rijal Talha & Amir meminta pandangan mufti Wilayah Persekutuan berhubung laporan yang mendakwa pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan menggunakan wang zakat agensi itu untuk membiayai khidmat guaman bersabit kes tuntutan qazaf Anwar.

Dalam kes tersebut, firma guaman berkenaan mewakili responden, iaitu Jamil Khir ; Che Mat dan ketua pendakwa syarie Wilayah Persekutuan ketika itu, Shamsuddin Hussain.

Dalam satu kenyataan hari ini, firma guaman itu berkata, ia telahpun menghubungi mufti berkenaan bagi mendapatkan pandangan dan membuat tindakan lanjut.

“Firma ini akan akur dengan apa jua arahan/nasihat yang akan diberi oleh pihak mufti jika ianya berkaitan dengan firma ini,” kata rakan kongsi kanan firma guaman itu, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Katanya, tiga peguam syarie telah mewakili ketiga-tiga responden termasuk beliau sendiri serta Roslizam Rahim dan Mohd Firdaus Mohamed Ariffin.

-KeadilanDaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan