Negara Malaysia yang rakyatnya terdiri di kalangan masyarakat majmuk berbilang kaum dan agama, senantiasa hidup dalam keadaan aman dan harmoni.
Keharmonian rakyat Malaysia, tidak seharusnya dijadikan alat untuk perjudian politik atau perbalahan parti-parti politik dalam merebut kuasa.
Keharmonian negara wujud kerana semua rakyat jelata menerima dan mempraktikkan Perkara 11 Perlembagaan Malaysia yang menyatakan bahawa Islam merupakan Agama rasmi Persekutuan. Sungguh pun begitu setiap orang berhak mempraktikkan agamanya sendiri.
Soal bangsa lain atau agama lain hendak menuntut hak sebagai agama rasmi selain Islam tidak wujud sama sekali. Perkara ini tidak berbangkit kerana majoriti penduduk dan pemimpin negara dari pelbagai parti politik, adalah mereka yang beragama Islam.
Malah semua kaum dan agama, menerima Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Ketua Negara dimestikan daripada Raja-Raja Melayu yang beragama Islam.
Oleh kerana itu sebarang usaha untuk menidakkan ketuanan Islam dalam negara tidak wujud dan tidak harus wujud sama sekali.
Justeru apakah yang mendorong perbalahan kaum dan agama ini wujud atau kembali diwujudkan?
Kita imbau sejarah, kali terakhir krisis perkauman dalam negara berlaku 42 tahun yang lalu, iaitu pada 13 Mei 1969.
Peristiwa 13 Mei menjadi peristiwa berdarah, kerana berlakunya pembunuhan antara kaum Melayu dan Cina, akibat daripada kefahaman ekstremisme yang melampau.
Pada tahun 1987, apabila berlaku krisis hebat dalam Barisan Nasional antara Umno dengan MCA, rakyat diheret kepada sentimen perkauman semula.
Jika diamati betul-betul, sentimen perkauman dan agama boleh berlaku kerana pertama; Akibat daripada kepentingan politik atau kedua; Wujud penindasan dan ketidakadilan kepada kaum atau agama tertentu.
Sudah menjadi lumrah tipa-tiap kaum atau agama untuk memelihara kepentingan mereka. Atas apa sebab sekalipun kepentingan kaum dan agama sentiasa akan menjadi keutamaan. Kedua-duanya adalah perkara sensitif yang harus ditangani secara adil dan saksama.
Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, perkara sensitif mudah berlaku. Ketegangan kaum dan agama akan mudah berlaku, jika pemimpin-pemimpin memperjudikannya untuk kepentingan politik.
Umum mengetahui kebanyakan parti politik yang menjadi komponen BN adalah diasaskan kepada kepentingan dan memperjuangkan kepentingan kaum yang diwakili. Secara sinonimnya kaum Melayu, majoritinya beragama Islam, kaum Cina beragama Buddha manakala India beragama Hindu.
Namun kesepakatan di antara parti-parti dalam BN ini sudah tidak wujud. Persefahaman yang dibina hanyalah ibarat 'api dalam sekam' atau 'duri dalam daging'. Kepercayaan sudah tidak wujud dalam BN kerana komponennya bercakaran sesama sendiri. Percakaran ini mengakibatkan kuasa mereka semakin terhakis.
Justeru Umno dilihat tidak mempunyai pilihan selain cuba untuk menyemarakkan api perkauman dan sentimen agama, untuk menarik kembali sokongan rakyat terhadap BN.
Usaha pemimpin Umno menerusi akhbar milik mereka Utusan Malaysia khususnya dalam penonjolan nasionalisme melampau orang Melayu dan mendakwa wujud konspirasi golongan Kristian, boleh memudaratkan keselamatan negara.
Umno cuba mencetuskan perbalahan kerana Umno sedar kuasa mereka semakin terhakis.
Namun kita amat bersyukur kerana kesepakatan dan kebijaksanaan pemimpin Pakatan Rakyat. Kita bersyukur kerana mempunyai rakyat yang toleran dan tidak mudah dipermainkan sentimen mereka.
Justeru, ancaman keselamatan negara yang dicetuskan Umno harus dihentikan segera. Tiada cara lain untuk menghentikannya selain membuang mereka dari tampuk kuasa.
-Mohd Rashidi Hassan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan