Keputusan kerajaan menangguhkan kenaikan harga petrol RON95 seperti yang diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna, Datuk Seri Ismail Sabri semalam disambut baik oleh semua pihak.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (gambar) berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana telah menerima dan prihatin dengan rintihan suara rakyat yang dibawa Pemuda UMNO.
Menurutnya, selepas pengumuman ini, beliau harap kerajaan akan terus bantu rakyat ketika keadaan inflasi harga barangan yang agak tinggi sekarang.
“Saya sarankan kerajaan berbelanja dengan berhemah untuk terus dapat bantu rakyat. Pemuda UMNO akan terus suarakan dan berani bawa suara rakyat ke hadapan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau minta kerajaan kekalkan subsidi sementara harga barangan yang masih tinggi dalam pasaran sekarang.
Pengerusi Biro Ekonomi dan Usahawan Pemuda Pemuda UMNO, Sohaimi Shahadan menyifatkan pengumuman penangguhan kenaikan harga petrol tindakan bijak kerana ia amat sensitif kepada rakyat.
Dibimbangi, katanya, isu ini digunakan pembangkang untuk meraih sokongan kerana impaknya dirasai walaupun sedikit.
“Kerajaan perlu terangkan kenapa dinaikkan. Kalau boleh biarlah petrol jadi subsidi terakhir untuk rakyat,” katanya.
Pengerusi Sekretariat Pekerja Muda Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, pengumuman ini menunjukkan kerajaan sentiasa memperjuangkan nasib rakyat tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik. -SinarHarian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan