Pengikut

Jumaat, 25 Mac 2011

Video seks bukti Umno guna politik jijik dan jahat

Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi meneruskan serangan ke atas Umno dengan mendakwa pembabitan Tan Sri Abdul Rahim Thamby dalam pendedahan rakaman video seks, kononnya melibatkan ketua umum Pakatan Rakyat, menggambarkan kecacatan kredibiliti Umno yang sanggup menggunakan politik “jijik dan jahat.”

“Siapa yang merancang (semua) ini? Rahim Thamby Chik. Adakah Umno sudah tidak ada mereka yang lebih berwibawa?” katanya dengan merujuk kepada bekas ketua Pemuda Umno yang terpaksa meletakkan jawatan ketua menteri Melaka selepas dikaitkan dengan tuduhan merogol seorang gadia bawah umur.

Ketika berucap pada majlis solat hajat di rumahnya di Segambut dekat sini malam tadi, yang dihadiri sekitar 400 orang, Anwar berkata: “Pada hari pertama, Umno berpendapat bahawa kita sudah habis.”

“Tetapi sekarang pembabitan Rahim Thamby Chik sudah jelas, kita boleh lihat bahawa video itu tiada kredibiliti,” kata Anwar yang juga Ketua Umum PKR dan Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Misteri di sebalik “Datuk T” yang mengemparkan negara dengan pendedahan sebuah klip video hitam putih yang memaparkan aksi seks seorang pemimpin pembangkang, terjawab kelmarin dengan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, seorang ahli perniagaan, mengaku bahawa beliaulah yang menunjukkan video itu kepada media terpilih di hotel Carcosa Seri Negara pagi Isnin lalu.

Pendedahan itu dibuat pada satu sidang media bersama Abdul Rahim di sini kelmarin.

Shazryl juga mendedahkan bahawa “Datuk T” sebenarnya bermakna “trio” iaitu beliau sendiri, Rahim dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim, yang tidak hadir pada persidangan akhbar itu.

Ketiga-tiga mereka aktif dalam politik dan perniagaan pada 1980-an dan 1990-an.

Shazryl baru-baru ini muncul dalam kes tuntutan bayaran RM20 juta mendapatkan projek jambatan bengkok antara Johor dan Singapura.

Pada sidang media kelmarin, Rahim mengulangi pendiriannya meminta pemimpin pembangkang yang dirujuknya sebagai “si polan” supaya meletak jawatan atas faktor liabiliti, seperti yang dilakukan olehnya ketika berdepan dakwaan merogol gadis bawah umur kira-kira 17 tahun lepas.

Beliau berkata tindakannya meletak jawatan sebagai ketua menteri Melaka adalah kerana permintaan Anwar pada ketika itu, yang menyifatkannya sebagai bebanan kepada Umno selain faktor semangat kesetiaan kepada kepentingan-kepentingan negara walaupun mahkamah kemudian mendapatinya tidak bersalah.

“Dia (Anwar) kata saya jadi liabiliti walaupun tak bersalah dan telah dibuktikan di dalam mahkamah. Saya berhenti. Jadi, hari ini saya harap Anwar ikutlah contoh saya. Rakyat yang taat setia dan menjunjung kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan negara,” katanya.

Rahim berkata, beliau tidak menyesal untuk berhenti malah mendakwa dirinya tidak mempunyai kepentingan dalam isu video itu cuma ingin menegakkan kebenaran yang perlu diketahui oleh semua rakyat Malaysia.

Mereka juga mempertontonkan rakaman itu kepada anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR dan Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul, Isnin lalu.

PKR juga mendakwa bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ada bertemu dengan ketiga-tiga “Datuk T” itu di Parlimen sebelum sidang media mereka kelmarin dan mahukan Presiden Umno memberikan penjelasan mengenainya.

Malam tadi, Anwar juga mempersoalkan mengapa polis tidak memahan “Datuk T” meskipun mengakui memiliki dan mempertontonkan rakaman video seks itu kepada banyak sejak Isnin lalu termasuk kepada wakil-wakil media.

Ketua Pembangkang itu juga menambah, kes liwat semasa juga karut kerana tidak konsisten dari segi bukti DNA dan juga sama ada terdapat sebarang penetrasi ke dalam dubur tertuduh Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar, yang dilihat sebagai "penghubung" dalam Pakatan Rakyat, telah memainkan peranan penting dalam barisan pembangkang menghadapi pilihan raya umum 2008.

Bekas timbalan perdana menteri dari 1993 hingga 1998 itu telah membuat laporan polis mengenai isu rakaman video seks, Selasa lalu.

Anwar juga mendakwa Najib dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein terlibat dalam kes ini yang Pakatan Rakyat menganggap sebagai satu konspirasi baru menjelang pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya umum ke-13 yang dipercayai diadakan dalam waktu terdekat.

Semalam, Abdul Rahim telah menyerahkan video aksi seks berkenaan, yang sebelum ini didakwa dirakamkan pada 21 Februari lalu, kepada polis setelah disoal siasat selama lima jam di ibu pejabat polis di Bukit Aman di sini.

Turut disoal siasat ialah Eskay yang kelmarin menganggap dirinya bekas kawan Anwar.


Dari The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan