Cubaan seorang gadis yang dipercayai terbabit masalah cinta dan menghadapi masalah keluarga untuk terjun bangunan tiga tingkat KB Mall, Jalan Hamzah di sini gagal apabila dia berjaya diselamatkan bomba.
Gadis terbabit yang bekerja di sebuah pasar raya di Wakaf Che Yeh dan berasal dari Kampung Gaung memegang sebilah pisau dan mengacukannya kepada anggota bomba yang berusaha memujuknya ketika dia berdiri di birai bangunan berkenaan.
Keadaan itu menimbulkan panik kepada orang ramai untuk menyaksikan kejadian yang pertama kali berlaku sehingga berlaku kesesakan lalu lintas di hadapan pusat membeli belah dan kawasan berdekatan.
Ketua Cawangan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Penguasa Bomba Shahrin Yusmar Mat Yusof berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 3.54 petang dan apabila tiba di tempat kejadian mendapati seorang gadis cuba terjun dari bangunan.
“Pihak bomba cuba memujuk gadis itu yang berusia lingkungan 20-an itu yang memegang pisau dan juga telefon bimbit ketika kejadian. Namun jarak komunikasi yang jauh menimbulkan masalah selain dia enggan memberikan kerjasama.
“Bagaimanapun seorang pegawai bomba berjaya mendekatinya sebelum memegang tangan mangsa namun dia meronta-ronta untuk dilepaskan dan ketika itu berlaku pergelutan beberapa minit,” katanya kepada pemberita selepas operasi menyelamatkan mangsa, semalam.
Menurutnya, ketika pergelutan itu mangsa yang dipercayai memegang sebilah pisau terjatuh ke atas tilam yang disediakan pasukan Bomba dan Penyelamat Kota Bharu dan Pengkalan Chepa.
Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk pemeriksaan lanjut.
Shahrin Yusmar berkata, dua jentera dari dua balai berkenaan bergegas ke tempat kejadian dan mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menyelamatkan mangsa daripada terjun dari bangunan.
Kejadian ini merupakan tragedi kedua yang berlaku di pasaraya terbabit.
Pada 6 Disember dua tahun lalu, dua sahabat maut manakala dua lagi parah apabila sebuah kereta yang hilang kawalan terjunam dari aras atas tempat letak kenderaan sebelum terhempas di dalam pusat beli-belah itu.
Mereka yang terbunuh dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu ialah Siti Nur Amira Shamsudin dan Siti Nor Diayanah Azman.
Semua mangsa yang dipercayai ditimpa serpihan runtuhan semasa di eskalator tingkat dua bangunan itu adalah penuntut di kolej kejururawatan berhampiran pusat beli-belah itu.
-SinarHarian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan