Pengikut

Selasa, 29 Mac 2011

Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Batu Caves terima sumbangan Pas

BATU CAVES -Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Batu Caves pertama kali dalam sejarah menerima sumbangan dari parti Pas bagi membantu pendidikan murid-murid sekolah, baru-baru ini.

Kejutan tersebut diterima dengan perasaan gembira oleh seluruh warga sekolah apabila Pas menyampaikan sumbangan cek bernilai RM5,000 bagi membantu sekolah membeli buku latihan.

Cek tersebut diserahkan oleh Bendahari Pas Pusat, Syed Mohamad kepada bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJK (T) Batu Caves, B R Rajan dan kemudiannya diserahkan kepada Pengerusi PIBG SJK (T) Batu Caves, R Raja, baru-baru ini.

Raja berkata, sumbangan yang diterima berikutan kehadiran Presiden Pas Abdul Hadi Awang melawat ke sekolah pada April 2010 bagi tujuan menghulurkan bantuan kepada 100 murid yang kurang berkemampuan.

Menurutnya, pada lawatan tersebut, Hadi pernah menyatakan akan membantu murid sekolah yang susah dan janji tersebut dilunaskannya pada hari itu.

“Warga sekolah sangat berterima kasih kerana sumbangan tersebut sedikit sebanyak meringankan beban murid dan keluarga susah.

“Murid-murid sekolah ini segelintirnya datang dari keluarga susah dan ada antaranya tidak mampu membeli buku latihan walaupun sesi sekolah telah bermula,” kata Raja.

Raja berkata, memandangkan ramai murid yang terbantut mengikuti pelajaran, wakil dari Dewan Perhimpunan Pas Pusat yang menerima maklumat ini telah menyuarakan masalah ini kepada kerajaan Pakatan Rakyat (PR) untuk mencari dana bagi membantu murid-murid berkeluarga susah.

“Pihak sekolah pernah menerima bantuan daripada PR negeri Selangor pada tahun 2009 berjumlah RM10,000 dan juga sumbangan Exco Kerajaan Negeri, Dr Xavier Jayakumar juga sebanyak RM 10,000,” kata Raja.

Sebelum ini, Raja pernah menyatakan bahawa sekolah sangat memerlukan sebuah dewan untuk digunakan oleh warga sekolah dalam aktiviti luar darjah mereka.

Katanya, beliau turut berharap mana-mana pihak yang berkemampuan dapat menyumbangkan dana untuk membina sebuah dewan untuk keperluan murid sekolah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan