Pengikut

Ahad, 1 Mei 2011

Lebih baik Najib tinggalkan Umno dan sertai PAS - Hadi

Membalas kenyataan Datuk Seri Najib Razak, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula menyeru ahli-ahli dan pemimpin Umno supaya meninggalkan parti teras BN itu untuk menyertai PAS jika benar-benar hendak melaksanakan Islam dan menegakkan keadilan bagi semua kaum.

“Jika benar Umno hendak laksanakan Islam dan bertindak dengan penuh keadilan, kuasa sudah ada di tangan mereka hari ini, mengapa mereka tidak laksanakan?” kata beliau dalam satu kenyataan.

Dalam laporan dibawa Harakah Daily hari ini, Presiden PAS itu menegaskan, seruan Najib semalam adalah janggal dan aneh, kerana PAS sekali-kali tidak akan bekerjasama dengan Umno BN dalam melakukan kezaliman dan meruntuhkan keadilan kepada rakyat.

Semalam, Najib berkata PAS patut keluar Pakatan Rakyat jikapun tidak memutuskan untuk tidak menyertai BN.

Sehubungan itu Perdana Menteri mendakwa PAS tidak pernah untung apa-apa pun dalam Pakatan Rakyat, malah mereka hanyalah menjadi alat kepada DAP.

Najib berkata, pada pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini misalnya, PAS telah bekerja keras, sebaliknya DAP yang dilihat meraih kejayaan daripada usaha keras mereka itu.

“Kita lihat poster di sini (Terengganu) “PAS ganti Umno”, realitinya “DAP ganti PAS”, di Sarawak (pilihan raya negeri 16 April lepas), PAS berkempen berhempas pulas, akhirnya, yang untung, DAP,” kata beliau.

“PAS, cukuplah dalam Pakatan Rakyat, alihlah kepada yang lain, tak masuk BN pun tak apa, tetapi keluarlah dari Pakatan,” kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian Pangsapuri Rakyat Pulau Duyong.

Selain itu, Najib yang juga Presiden Umno dilaporkan mempelawa PAS agar menyertai BN dengan berkata, sudah tiba masanya PAS meninggalkan DAP atas alasan ternyata tidak pernah sekalipun memperjuangkan Islam.

“Kenapa buat baik dengan DAP? Adakah DAP boleh perjuangkan Islam?

“Hadi, cukup-cukuplah dengan DAP, tinggalkan DAP, masuk BN,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada majlis Perjumpaan Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri kawasan Manir di Kampung Pulau Bahagia dekat Kuala Terengganu.

Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, Terengganu berkata, kerjasama atau penyatuan seharusnya dibina dengan bercirikan asas bertolong-tolong dalam melakukan kebajikan dan keadilan, dan bukan bertolong-tolong dalam melakukan maksiat, kezaliman dan memusnahkan harta negara.

“PAS mendokong fikrah yang jelas, bahawa kerjasama bersama PR adalah dibina dengan berpegang kepada dasar bantu-membantu dalam menegakkan keadilan dan menentang kezaliman,” kata Hadi lagi.

Jelas Hadi, kerjasama PAS selama ini dengan DAP contohnya, adalah di atas nama “tahaluf siyasi” yang dibenarkan agama dan tidak menggadai prinsip.

Hadi menambah, kerjasama PAS-DAP tidak sama dengan kerjasama wala antara Umno dengan MCA dan MIC yang menggadai prinsip Islam, hanyut dengan kuasa dan seterusnya menghilangkan jati diri Melayu Islam dalam negara ini.

“Kita ingin bertanya, siapakah yang sebenarnya menggunakan kuasa tanpa hak dengan menyekat royalti minyak milik rakyat Terengganu dan Kelantan, yang lebih dari 90 peratus adalah orang Melayu-Islam?

“Siapakah pula yang mendiskriminasi penyokong pembangkang di kalangan orang Melayu sehingga peluang berniaga, pendidikan, pengagihan ekonomi hanya tertumpu di kalangan Umnoputra?” kata Hadi.

Selain itu soal Hadi, “siapakah yang menyekat Kelantan dan Terengganu melaksanakan syariat Islam sebelum ini?”

Justeru kata Hadi, jawapannya adalah kerajaan pimpinan Umno BN itulah yang sebenarnya melemahkan orang Melayu itu sendiri.

Selain Hadi, semalam pemimpin-pemimpin kanan PAS, antara Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali dan Naib Presiden Salahuddin Ayub juga menolak bulat-bulat pelawaan Najib.

-The malaysian insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan