“Kami parti dengan tiga juta orang ahli, jika seorang atau dua menggunakan hak mereka untuk memawa perkara ini, tiada apa yang kami boleh lakukan,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz (gambar) ketika ditemui di bangunan Parlimen hari ini.
“Mereka melakukan atas kapasiti sebagai individu tanpa pengetahuan kami. Umno tidak mahu dikaitkan dengan ini (pendedahan ini),” kata Ahli Parlimen Padang Rengas.
Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Rais Yatim berkata perkara itu adalah soal kesalahan jenayah dan tidak harus dibuat tuduhan sembarangan.
“Ia mesti disiasat oleh polis dan Peguam Negara. Siasatan adalah untuk memastikan tiada nama atau parti diheret ke dalam isu ini dan fitnah,” kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan ini.
Beliau juga meminta ketiga-tiga lelaki berkenaan agar membuat aduan polis agar siasatan boleh dijalankan mengikut undang-undang negara.
Misteri di sebalik “Datuk T” yang mengemparkan negara dengan pendedahan sebuah klip video hitam putih yang memaparkan aksi seks seorang pemimpin pembangkang, terjawab hari ini.
Datuk Shazryl Eskay Abdullah, seorang ahli perniagaan, mengaku bahawa beliaulah yang menunjukkan video itu kepada media terpilih di Carcosa Seri Negara dua hari lepas.
Pendedahan itu dibuat pada satu sidang media bersama Rahim Thamby di sebuah hotel di sini petang ini.
Shazryl juga mendedahkan bahawa “Datuk T” sebenarnya bermakna “trio” iaitu beliau sendiri, Rahim dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim, yang tidak hadir pada persidangan akhbar itu.
Shazryl dan Rahim mengulangi pendirian “Datuk T” bahawa mereka mahu sebuah suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menentukan kesahihan video tersebut untuk membuktikan pelaku seks dalam rakaman itu adalah seorang pemimpin pembangkang.
Dalam pada itu, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata Shuib telah menjelaskan kepadanya bahawa beliau hanya dijemput oleh Abdul Rahim dan bertindak atas kemahuan sendiri.
“Jika perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat majlis eksekutif akan datang, maka kami akan membincangkan. Sebenarnya beliau ada tanya pada saya banyak kali mahu meletakkan jawatan sebagai bendahari (Perkasa),’ kata Ahli Parlimen Pasir Mas ini ketika ditanya sama ada Perkasa akan mengambil tindakan ke atas Shuib.
Ibrahim menambah untuk berlaku adil kepada Shuib dan Anwar, perkara itu harus disiasat oleh suruhanjaya diraja.
“Anwar telah dituduh tetapi belum ada bukti lagi. Tetapi jika Shuib dan yang lain mendakwa benar, maka mereka harus dihargai kerana mendedahkan kebenaran,” katanya lagi.
Dari The Malaysia Insider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan