Pengikut

Ahad, 11 Oktober 2009

Ada yang lebih penting dari keputusan Bagan Pinang

CATATAN ini disediakan pada malam Sabtu. Masih berbaki masa berkempen tidak sampai 24 jam di Bagan Pinang, satu tempoh yang mungkin dianggap kritikal bagi kedua-dua calon.

Menerusi media baru, pelbagai pendedahan tentang insiden keganasan ke atas jentera kempen PAS didedahkan, beserta bukti gambar dan laporan polis. Sudah tentu akhbar dan televisyen "tali-barut BN" mengamalkan taktik lapuk dan usang - bukan sahaja memperlekehkan tragedi yang memalukan dunia demokrasi itu - malah melalui lidah pemimpin Umno, khususnya para menteri, termasuk Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, melemparkan tuduhan melulu.

Bersilat kata-kata

Kempen pilihan raya sepatutnya berjalan dengan matang, terbuka dan penuh persefahaman. Boleh saja bersilat kata-kata, berperang mulut, bertikam lidah hatta mendedahkan kelemahan calon dan parti saingan, namun tidaklah sampai bergolok-berparang, tumbuk-menumbuk.

Siapa pun yang menang atau kalah, ia adat biasa dalam pertandingan. Ia bukan bererti petanda kiamat yang menutup peluang untuk menawarkan diri berkhidmat buat rakyat.

Sejarah pendek pilihan raya kecil di negara ini menunjukkan tidak semestinya keputusan sama akan berulang dalam pilihan raya umum yang jauh lebih penting.

Mungkin banyak hikmahnya buat Pakatan Rakyat jika calon PAS belum ditakdirkan menang di Bagan Pinang selepas gabungan tidak rasmi tiga parti itu mencatat rekod kemenangan 7-0 melalui siri pilihan raya kecil di Semenanjung yang diadakan selepas pilihan raya umum Mac 2008.

Ya, tidak elok juga jika "asyik menang dan tidak kalah-kalah" sehingga menyelinap rasa ego-sombong buat Pakatan, atau menyuntik rasa cemas keterlaluan buat Umno-BN sehingga mencetuskan aksi di luar dugaan yang tidak menguntungkan sesiapa.

Bagi saya, Pakatan perlu "masa bertenang" untuk mempertingkat keupayaan setiap parti untuk menyerap segala masalah berbangkit sekali gus mempamerkan solidariti yang "tidak dibuat-buat" agar keyakinan rakyat dapat ditambat seutuhnya.

Umum mengetahui bahawa BN tidak mampu lagi menarik kepercayaan rakyat, namun sokongan tidak semestinya automatik berpaut kepada Pakatan jika kesepaduan antara PAS-DAP-KeADILan nampak goyah, apatah lagi sekiranya persefahaman mantap di negeri-negeri memerintah khususnya Selangor, Pulau Pinang dan Kedah gagal dizahirkan.Rakyat menyokong ketiga-tiga parti alternatif itu dalam pilihan raya umum lalu bukan sangat disebabkan mereka tertarik dengan polisi atau dasar baru tetapi lebih berpunca daripada "rasa meluat yang amat sangat" terhadap gelagat negatif dan kerakusan pemimpin BN yang berkuasa sejak 50 tahun lalu.

Sokongan itu bersyarat ketat dan sentiasa diperbaharui 'kontraknya'. Jika penyakit 'orang atau parti berkuasa' yang melemaskan Umno-BN turut menimpa Pakatan, tidak mustahil tempoh memerintah beberapa negeri itu hanya sekadar satu penggal.

Rakyat semakin bijak menilai-menghakimi prestasi pemerintah 9Pakatan dan juga Barisan) dan kesetiaan mereka kepada mana-mana parti kian longgar.

Inisiatif berterusan

Dalam pada itu, Pakatan harus meningkatkan inisiatif berterusan dan bersifat sistematik agar proses pilihan raya di negara ini lebih telus, bebas dan adil. Usah menunggu pilihan raya kecil untuk menuntut usaha reformasi menyeluruh terhadap sistem yang sememangnya berat sebelah.

Pemansuhan undi pos, akses berkempen dalam media dan tanda cat pada jari bagi mengelak undian berganda misalnya, memerlukan penggemblengan tenaga secara konsisten mendesak SPR agar tidak berdolak-dalih lagi menyediakan "padang permainan yang sama rata".

Tempoh dua tahun terakhir menjelang pilihan raya umum ke-13 memang cukup kritikal untuk Pakatan dan juga BN. Sama ada ia bakal menemukan kita dengan rantaian pilihan raya kecil lagi bukan isu besar, namun yang penting, segenap peluang dan potensi mesti dimanfaatkan untuk menghadapi cabaran dan gugatan yang lebih sengit dan sofistikated.

Usah biarkan keputusan di Bagan Pinang melalaikan kita daripada membuat persiapan dan penambahbaikan yang lebih real.

Semasa kita berdiri gagah di kawasan bandar dan semi-urban, jangan lupa memugar kekuatan di wilayah pendalaman. Ketika yakin anak muda tetap bersama kita, jangan memandang rendah golongan ini boleh berubah citarasa jika kita kerap alpa menyantuni mereka.

Sewaktu hebat berdegar-degar berbicara soal globalisasi dan liberalisasi ekonomi dunia, jangan abaikan derita petani, nelayan dan buruh kasar. Di kala petah berhujah soal isu-isu besar korupsi dan nepotisme, jangan pandang enteng masalah tuntutan kebajikan memenuhi kehidupan seharian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan