Pengikut

Khamis, 17 Mac 2011

Barakahkah Duit Gaji Kita?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Sesungguhnya mereka (malaikat) yang ada di sisi Tuhanmu tidak bersikap angkuh (ingkar) daripada beribadat kepada-Nya, dan mereka pula bertasbih bagi-Nya, dan kepada-Nyalah jua mereka sujud." (Al-A'raaf ayat 206)


DULU ketika bekerja di sebuah kilang elektronik kadang-kadang saya tertanya-tanya pada diri sendiri seimbangkah tugas dilaksanakan dengan gaji yang saya terima. Katakan gaji saya RM1,500 sebulan; setiap hari upah saya adalah RM50. Adakah upah RM50 itu seimbang dengan kerja dilakukan apatah lagi dalam sebulan ada hari cuti dan 'off day', menyebabkan dalam sebulan kita mungkin bekerja kurang daripada 20 hari.

Saya bukanlah mahu mengatakan diri saya 'perfect' (sempurna) kerana saya pun dua kali lima tidak menjalankan tugas sebaik mungkin, jadi teguran ini ditujukan kepada diri sendiri dan jika ada manfaatnya untuk rakan-rakan dan insan seagama yang akan berdiri di hadapan Allah SWT bagi menjawab segala amanah yang diberikan sebagai khalifah di bumi-Nya.

Baru-baru ini seorang pendakwah bebas, Ustaz Sobri dalam tazkirahnya, menimbulkan persoalan yang sama - adakah gaji yang kita terima setiap bulan itu seimbang dengan tugas yang kita laksanakan. Beliau meminta petugas melakukan muhasabah diri, membandingkan gaji yang diterima dengan amanah yang dilaksanakan supaya dapat difikir-fikirkan sama ada wang yang dibawa balik untuk diberi makan kepada anak isteri itu benar-benar daripada titik peluh kita yang halal yang sekali gus membawa kebarakahan hidup.

Katakan gaji kita RM3,600 sebulan. Jika kita bekerja 20 hari sebulan, bermakna setiap hari kita dibayar R180. Jika kita bekerja lapan jam sehari, setiap jam kita dibayar RM22.50. Adakah dalam tempoh sejam itu kita benar-benar bekerja atau kita lebih banyak berborak, lepak-lepak di kedai kopi atau melakukan kerja-kerja lain di luar spesifikasi tugasan kita. Tentunya sepanjang lapan jam sehari, kita tidak tekun bekerja selama lapan jam, mungkin kita bekerja lima jam saja, tiga jam lagi kita bazirkan begitu saja.

Demikianlah kata Ustaz Sobri, disebabkan wang yang kita bawa pulang untuk kegunaan urusan rumahtangga kita kurang bersih, maka timbullah pelbagai masalah yang merumitkan diri kita sendiri. Misalnya, isteri semakin kurang mesra dengan kita - masa muda dulu apabila balik saja rumah dia akan menyambut kita, mengucup tangan dan menyediakan minuman kesukaan kita, tetapi sekarang buat acuh tak acuh saja, malah air minuman disuruh buat sendiri. Demikian juga dengan anak-anak; mereka nakal dan tidak mendengar kata.

Bagi isteri yang bekerja, suami pula buat hal. Jika dulu rajin menolong mengemas dan memasak; sekarang usah harap, dia asyik duduk depan TV atau membelek akhbar kesukaannya siang dan malam. Isteri mengadu sakit pun tidak dipedulikan, kalau mahu pergi klinik pergilah sendiri.

Ustaz Sobri mengingatkan apa juga perbuatan terutama kerja yang ada imbuhannya (gaji) perlu dilaksanakan dengan ikhlas. "Sikap kita perlu lurus, kerja kita terpandu semata-mata kerana Allah SWT," katanya.

Apabila sentiasa teringatkan bahawa kita dibayar sekian upah (misalnya RM22.50 sejam) tentunya kita rasa bersalah untuk bersikap tidak amanah dalam menjalankan tugas. Tentunya rasa bersalah untuk berborak-borak selama sejam sedangkan upah sepanjang tempoh itu ada RM22.50. Apatah lagi untuk mensia-siakan masa sepanjang hari yang upahnya RM180, atau pun sepanjang bulan yang bayarannya RM3,600 atau sepanjang tahun dengan upahnya RM43,200! Kata orang muda sekarang, lu fikirlah sendiri!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan