Pengikut

Rabu, 23 Februari 2011

Najib pemimpin peralihan, bukan pemimpin perubahan

Meskipun "transformasi" menjadi istilah yang sering diungkapkan Perdana Menteri Najib Razak, namun beliau lebih dilihat sebagai pemimpin dalam zaman peralihan, dan bukannya pemimpin perubahan. Najib tidak menunjukkan kepimpinan untuk menyelesaikan isu yang berbangkit sejak zaman Reformasi, dan mungkin mengulangi nasib Abdullah Ahmad Badawi - pemimpin peralihan yang terpaksa berundur.

Demikianlah penilaian ahli parlimen Bukit Bendera-DAP, Liew Chin Tong terhadap Perdana Menteri yang hampir dua tahun menerajui tampuk kerajaan ini. Pemimpin muda DAP ini melihat Najib cuba menampilkan diri sebagai "pengurus" (manager) yang cekap, tetapi apa yang lebih diinginkan rakyat sekarang adalah kepimpinan (leadership).

Liew Chin Tong memberi contoh bagaimana Najib mengambil alih peranan Setiausaha Agung UMNO, misalnya mengadakan perjumpaan dengan ahli parlimen, ADUN, wakil rakyat di Sarawak dan Ketua Bahagian UMNO - kerja-kerja yang sebelum ini dikendalikan Setiausaha Agung UMNO. Liew menganggap pendekatan "manager" ini tidak berguna, apabila situasi ekonomi menuntut satu perubahan atau transformasi.

Sambil mendakwa tiada pertikaian bahawa kita memerlukan reformasi (a need to reform), Liew Chin Tong melontarkan satu persoalan, "Sama ada Najib adalah pemimpin perubahan (transformasi), atau pemimpin peralihan (transition) seperti Abdullah Ahmad Badawi?"

Perbandingannya menggunakan nama Abdullah Ahmad Badawi menggelakkan kira-kira 150 orang yang hadir untuk forum "Kebangkitan Rakyat: Harapan untuk Demokrasi di Timur Tengah?" anjuran MerdekaReview, bersama Free Public Forum dan Pemuda Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam. Liew Chin Tong mengulas sedemikian ketika mengaitkan apa yang berlaku di Mesir dengan senario di Malaysia.

Isu yang sama sejak zaman Reformasi

Abdullah Ahmad Badawi adalah PM keempat di Malaysia, selepas Mahathir Mohamad berundur berikutan tekanan gerakan Reformasi di tanah air pada akhir tahun 1990-an. Abdullah yang mengambil alih jawatan PM pada akhir tahun 2003 cuba menampilkan diri sebagai pembawa perubahan, bagaimanapun gagal berbuat demikian, malah terpaksa berundur setelah kekalahan UMNO-BN (hilang majoriti dua pertiga dalam parlimen, dan lima kerajaan negeri) dalam PRU pada tahun 2008.

Liew Chin Tong berkata, untuk 12 tahun sejak zaman Reformasi, rasuah, ketidaksamarataan, keterbukaan, reformasi politik, kebebasan media, reformasi sistem pilihan raya adalah antara isu yang berulang kali dibangkitkan, sehinggalah hari ini. Bagaimanapun, beliau menganggap isu-isu yang sama ini tidak pernah diselesaikan secara terbuka, walaupun dalam zaman pemerintahan Najib.

Beliau memberi amaran bahawa Najib mungkin dijatuhkan seandainya tidak berhati-hati dalam menyelesaikan isu-isu tersebut. Liew mengambil Mahathir pada awal tahun 1990-an sebagai contoh bandingan "pemimpin perubahan", sungguhpun dipertikaikan kemudiannya.

Mahathir wujudkan suasana "perubahan"

Tiga bulan selepas pilihan raya umum pada tahun 1990, Mahathir mengumumkan Wawasan 2020-nya. Ini kerana keputusan PRU kelapan itu menyedarkan Mahathir bahawa seandainya kehilangan undi Cina secara mendadak, sementara pengundi Melayu berpecah di tengah-tengah (50:50), maka beliau akan hilang kuasa, ulas Liew Chin Tong.

Walaupun "transformasi" Mahathir didapati "palsu" kemudiannya, namun Liew Chin Tong tetap menganggap bahawa beliau berjaya mewujudkan suasana "perubahan", sehingga masyarakat Cina yang melihat Mahathir sebagai ekstremis pada tahun 1980-an, berubah persepsinya sebagai "wira" pada zaman 1990-an. Zaman 1990-an mewujudkan satu suasana di mana ekonomi bertambah baik, ada keterbukaan dan kemajuan.

Bagaimanapun, pandangan Liew Chin Tong mencungkil respon hadirin, Josh Hong yang cuba memberi konteks zaman pemerintahan Mahathir, berbading zaman Najib. Menurut Josh Hong dalam sesi soal-jawab, pesaing Mahathir pada tahun 1990-an ialah Tengku Razaleigh Hamzah, yang kurang berkarisma banding Mahathir. Malah, pakatan pembakang tidak semantap hari ini, dengan PAS yang kurang progresif ketika itu dan DAP yang dilihat kurang mesra untuk Melayu pada zaman 1990-an.

Liew Chin Tong bagaimanapun bersetuju dengan pandangan Josh Hong, di mana kerjasama pembangkang hari ini lebih mantap dan matang berbanding zaman 1990-an, dan kini pembangkang menggalas tugas untuk menggarap imaginasi pengundi middle ground.

Senario sedemikian sememangnya berbeza dengan zaman di mana DAP lebih dilihat sebagai pembangkang Cina, dan PAS yang membina kubunya di Utara Semenanjung Malaysia. Liew Chin Tong berkata, senario sedemikian menuntut Najib untuk menjadi pemimpin transformasi, namun beliau tidak menganggap bahawa Najib mampu melakukannya.

Beliau berkata, BN, khususnya UMNO masih menganggap bahawa keputusan PRU 2008 sebagai sesuatu yang luar biasa, dan mereka masih menginginkan kemenangan besar seperti tahun 2004, yang dianggap "normal" dari kaca mata UMNO-BN. Beliau menganggap pemimpin UMNO-BN masih tidak insaf dari PRU 2008. Justeru itu, beliau melihat Najib lebih sebagai "pemimpin peralihan", dan bukannya "pemimpin perubahan".


*Forum "Kebangkitan Rakyat: Harapan untuk Demokrasi di Timur Tengah?" dianjurkan bersama oleh MerdekaReview, Free Public Forum dan Pemuda Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, pada 22 Februari 2011 di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor. Antara ahli panelnya, Nora Murad (Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia-AIM), Liew Chin Tong (ahli parlimen Bukit Bendera-DAP), Mujahid Yusuf Rawa (ahli parlimen Parit Buntar-PAS) dan Hishamuddin Rais (penulis bebas), dengan Fahmi Fadzil sebagai moderatornya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan