Menurutnya, statistik terbaru dikeluarkan Bank Negara menunjukkan kenaikan sebanyak 4.9 peratus harga makanan dan minuman tidak beralkohol bagi jangka masa yang sama tahun lepas.
“Sekiranya kenaikan ini tidak dibendung dan kekal untuk bulan seterusnya, tahun 2011 akan mencatatkan kenaikan harga makanan kedua tertinggi semenjak tahun 2006.
“Kenaikan ini akan menambah derita rakyat sepertimana pada tahun 2008 lalu apabila harga makanan naik sehingga 8.8% akibat dari kenaikan mendadak harga minyak dan petrol,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Anwar berkata, Pakatan Rakyat yakin wujudnya kaitan akibat dari penarikan subsidi buat rakyat Malaysia berikutan kenaikan harga makanan tersebut.
“Alasan kerajaan untuk menarik kembali subsidi kerana ianya meringankan beban defisit belanjawan ternyata lemah. Jelasnya rakyat yang terkesan akibat dari program rasionalisasi tersebut sedangkan pembaziran serta ketirisan yang mengakibatkan defisit tidak pula diatasi sesegera mungkin,” tegas Anwar.
Menurut Anwar (gambar), dijangka pada akhir tahun 2011, rakyat terpaksa membayar 30 peratus lebih dari harga kos setiap jenis makanan berbanding 2005.
“Sepanjang enam tahun tersebut harga makanan telah naik sebanyak 30 peratus sedangkan kenaikan upah di negara ini puratanya sekitar 2.6 peratus dari tahun 2001 sehinggga tahun 2010,” ujar Anwar.
Anwar yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri dan menteri kewangan berkata, rakyat mulai muak dengan tata kelola ekonomi yang lemah oleh Barisan Nasional menyebabkan mereka menanggung derita sedangkan kroni pemerintah mendapat keuntungan besar.
“Pakatan Rakyat akan jelaskan kepada rakyat bahawa memilih Barisan Nasional, adalah memilih penyelewengan pengurusan ekonomi dan kenaikan harga makanan,” tegasnya lagi.
Justeru itu, Pakatan Rakyat telah merangka langkah bagi mengurangkan defisit belanjawan negara sepertimana yang digariskan dalam dokumen Buku Jingga.
“Langkah ini termasuklah menarik kembali subsidi korporat yang berjumlah 19billion yang diberikan kepada elit serta syarikat yang dekat dengan pemerintah termasuklah syarikat Pengeluar Tenaga Bebas/Swasta (IPP).
“Kita juga akan berusaha menghapuskan rasuah yang telah merugikan kerajaan persekutuan sekitar RM 28 billion setiap tahun,” ujarnya merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara pada 2008.
-KeadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan