DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Allah SWT menjadikan dunia sebagai tempat permainan, gurau senda, penipuan, kesombongan, dan bermegah-megahan. Allah SWT mengingatkan kita dalam Surah Luqman 31:33 yang bermaksud: "Janganlah kamu mahu ditipu oleh kehidupan dunia."
Syukur ke hadrat Illahi, kita dipanjangkan usia, maka dapatlah kita menyambut dan memperingati ulang tahun keputeraan Nabi besar kita Muhammad s.a.w. pada Selasa, 12 Rabiulawal 1432 Hijrah bersamaan 15 Februari 2011 yang lalu.
Sudah menjadi lumrah di negara kita, pada sambutan Maulud Nabi, pemimpin kerap mengingatkan umat Islam, jadikan Nabi Muhammad s.a.w. suri teladan, ikutilah Islam sepenuhnya tetapi persoalannya adakah orang menasihati itu benar-benar memberi teladan baik atau cakap mereka bagi menyedapkan hati, mulut dan suasana saja?
Sukacita kita mengingati diri sendiri dan juga seluruh umat Islam untuk benar-benar menjadikan Nabi Muhammad s.a.w. suri teladan kehidupan. Untuk itu, kita berharapkan umat Islam mengambil dan mengamalkan seluruh ajaran Islam bukan separuh-separuh seperti yang kerap berlaku mutakhir ini.
Berhubung mengambil sebahagian ajaran Allah dan meninggalkan sebahagian lain, Allah SWT telah memberi amaran kepada bani Israil melalui ayat 85 Surah Al-Baqarah yang bermaksud:
“…Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada seksa yang sangat berat. Allah tidak lengah daripada apa yang kamu perbuat.”
Dalam Surah Al-Baqarah ini ada dua ayat berdekatan (ayat 178 dan ayat 183) yang meminta orang beriman supaya berhukum dengan hukum Allah (qisas) dan berpuasa, tetapi dalam masyarakat dan negara, kita hanya menekankan bab puasa tetapi gagal berhukum dengan hukum Allah; jadi marilah kita bersama-sama bermuhasabah, menyesali diri serta bertaubat kepada Allah kerana gagal melaksanakan Islam sepenuhnya dalam kehidupan kita.
Orang yang mengaku beriman sewajar tiada halangan bagi melaksanakan semua perintah Allah SWT termasuklah menjalankan hukum hudud dan mencegah kemungkaran. Enggan melaksanakan sebarang perintah Allah adalah jelas menyalahi pengakuan syahadah bahawa kita akan menyerah dan mentaati segala perintah Allah SWT.
Jika pemimpin menyuruh meneladani Nabi Muhammad; apatah politik kita menepati kehendak Allah dan Rasul-Nya? Kita bimbang kerana ‘politik suku agama suku’ (memisahkan agama dan politik) yang menjadi pegangan sebahagian daripada kita ternyata tersasar daripada apa yang ditunjukkan Nabi kita. Sirah menunjukkan bahawa Nabi cemerlang dalam semua bidang kehidupan sebagai ketua keluarga, imam di masjid, pentadbir seterusnya politikus, negarawan dan pemerintah sebuah empayar besar.
Nabi s.a.w. telah menunjukkan kaedah berpolitik, jadi bagaimana kita tergamak menyatakan politik dan agama terpisah? Dibimbangi kita sudah jauh terpesong, jadi sempena mengingati hari keputeraan baginda, marilah kita sama-sama kembali ke pangkal jalan, menghidupkan sunnah baginda dalam semua bidang kehidupan.
Sewajarnya, penghijrahan untuk meneladani kehidupan Rasul bermula daripada diri sendiri, keluarga kita, masyarakat seterusnya negeri dan negara. Koreksi diri sama ada kita mengikut jejak dan suruhan Rasul atau kita menyeleweng daripadanya.
Misalnya dari segi mematuhi perintah Allah dalam bab berpakaian, adakah kita mengikut kehendak Rasul? Bagi Muslimat adakah kita sudah mengenakan pakaian selayaknya termasuk bertudung labuh bagi menutup perhiasan kita?
Kemudian dalam kehidupan berkeluarga, adakah kita sudah pastikan semua ahli keluarga kita mengikut syariat agama sepenuhnya? Bagaimana sumber pendapatan kita, pendidikan dan akhlak anak-anak; ibadat kita, adakah semuanya menjurus kepada mengikut kehendak Rasul atau kita bernafsu-nafsi?
Kemudian dalam kehidupan bermasyarakat, bernegeri dan bernegara, adakah kita ikut Islam sepenuhnya atau kita ambil apa yang kita fikir baik dan meninggalkan apa yang kita fikir tidak baik? Nauzubillah, janganlah kita termasuk golongan diberi amaran Allah SWT seperti bani Israil kerana mengambil agama separuh-paruh!
Dari
Tiada ulasan:
Catat Ulasan