DAPHNE memilih nama Dahlia sebagai nama Islamnya. Ujar personaliti televisyen popular ini, telekung dan sejadah adalah peralatan pertama yang dibelinya sebagai persediaan bertukar agama. “Pengalaman bertukar agama adalah yang paling indah,” ujar si bunga baru, Dahlia.
“Ikan di laut, asam di darat, kalau dah jodoh, bertemu jua. Saya minta maaf banyak-banyak sebab suami saya, Joe (nama panggilan) adalah seorang yang sangat privasi. Dia tak suka kalau cerita tentang hal ehwal rumah tangga kami dihebohkan,’’ reaksi awal pelakon jelita ini tatkala diminta mengulas tentang status perkahwinan barunya yang berusia sebulan lebih.
Ikatan sah bersama Azmi Abdul Rahman yang dibina atas dasar cinta itu berlangsung pada 8 Januari 2011 di kampung halamannya, Keningau, Sabah.
Satu majlis kesyukuran kecil-kecilan telah dilakukan di kampung halamannya bagi meraikan pasangan mempelai tersebut, laporan Mingguan Malaysia hari ini.
Sejak tahun lalu model dan pengacara TV terkenal ini menjadi tumpuan dalam kes di Mahkamah Majistret, yang sedang didengar, yang dibawa bekas suaminya terhadap bekas pengarah urusan Adidas Darren Choy Khin Ming.
Saman peribadi itu dikemukakan terhadap Choy, 44, oleh Ryan Chong Yiing Yih, bekas suami Daphne kerana memikatnya dengan mengetahui bahawa beliau ketika itu merupakan isteri Chong dengan niat supaya wanita itu melakukan persetubuhan yang ditegah dengannya di The Plaza, Jalan Wan Kadir, Taman Tun Dr Ismail di sini antara Julai 2007 dan September 2008.
Daphne mengahwini Chong pada 27 Jan 2007 di Bali, Indonesia dan pasangan itu dikurniakan seorang anak perempuan, Isobel Daniella Iking-Chong.
Sebelum ini, usahawan yang berusia 30-an ini dilihat selalu bersama dengan pengacara ini, tetapi tiada siapa yang dapat mengesan hubungan istimewa mereka.
Pun begitu, ketika ditanya tentang perihal lelaki berkenaan, Daphne mengatakan Azmi hanya rakan kongsi pada masa itu.
Mungkin ketika itu masih terlalu awal untuk mendedahkan rahsia hati wanita yang cukup suka berceloteh itu. Sekarang ini, tidak ada yang perlu disembunyikan.
Coretan Daphne di akaun laman sosial Twitter miliknya juga penuh dengan nada-nada keriangan, tambah ruangan Pancaindera akhbar itu.
Apabila diajukan soalan kepada wanita berusia 31 tahun ini mengenai kehidupan barunya itu, Daphne cukup berlapik dalam bicara, tidak mahu kenyataannya yang bakal dikeluarkan itu dimanipulasi banyak pihak.
“Insya-Allah, saya berharap hanya yang terbaik untuk diri saya dan keluarga untuk mendapat keberkatan dengan silaturahim yang telah terjalin ini. Doakan kebahagian saya ya,’’ katanya ringkas minta dimengerti.
Bagaimanapun, dia cukup bersedia tatkala mengulas tentang pemilihan nama terbarunya, Dahlia Daphne Eleanor M Iking (gambar) .
Sekali gus menjawab persoalan desas desus mengatakan dia sudah memeluk agama Islam.
“Sebenarnya, saya selalu teruja untuk mengetahui keindahan agama lain kerana saya mahu pastikan dapat mengulas sesuatu perkara dengan tepat.
“Apatah lagi kebanyakan ahli keluarga saya jenis yang suka membaca. Semua bahan bacaan kami baca termasuk buku berkaitan agama yang turut diletakkan di rak buku.
“Antara buku tentang agama yang pernah dibaca seperti Understanding Islam (A Brief Illustrated Guide To Understanding Islam oleh I.A. Ibrahim).
“Buku ini mengajar panduan asas Islam. Ia memudahkan saya belajar tentang perkara boleh dilakukan atau dilarang dalam agama ini,” katanya.
Bercerita lanjut tentang minatnya yang mendalam tentang agama, wanita ini kelihatan begitu bersemangat lagi.
“Keluarga belah ibu saya, Naili Ganahang adalah sebuah keluarga campuran yang cukup unik. Mereka terdiri daripada latar belakang budaya dan agama yang cukup berbeza. Jadi dari sinilah kami menghormati kepercayaan masing-masing.
“Takdir bagaimanapun telah membuka hati saya untuk mendalami agama Islam. Rakan-rakan mualaf saya juga banyak bercerita tentang keindahan dan kesucian Islam. Rasa ingin tahu semakin memuncak dan saya banyak bertanya kepada ustaz kalau ada soalan bermain di fikiran tentang hal-hal berkaitan agama,” katanya lagi.
Pun begitu, Pelakon Harapan Wanita Festival Filem Malaysia Ke-23 menerusi filem Belukar ini turut bertuah kerana mendapat banyak tunjuk ajar daripada pembantu rumahnya yang beragama Islam.
Selain bertindak menjaga puteri hati, Isobel Daniella Iking-Chong, dia juga menunjukkan cara hidup Muslim yang sebenar kepada Daphne.
“Saya memang tak ada masalah untuk sebarang pengajaran yang menunjukkan arah kebaikan. Juga dari situ juga saya mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam hujung tahun lepas,” katanya lagi.
Bagaimanapun, graduan lulusan komunikasi di Universiti Sains Malaysia juga menolak cerita mengatakan dia memeluk agama Islam kerana pihak tertentu.
Jauh sekali kerana mahu berkahwin dengan seorang lelaki muslim. Sebaliknya, dia memilih Islam kerana terpesona dengan keindahan agama itu sendiri.
“Saya tak mahu memeluk Islam kerana disebabkan individu tertentu. Ia sememang ikhlas. Saya dengan rela hati melakukan perkara tersebut. Alhamdulillah, pengalaman tersebut cukup indah buat saya,” katanya lagi.
Menjawab persoalan bagaimana Daphne boleh terlintas untuk mengacara dalam bahasa kebangsaan, wanita ini menyifatkan ia sebagai satu cabaran buat dirinya.
Baginya, perkara tersebut perlu diteruskan walaupun jauh dari sudut hatinya, rasa gementar menguasai sepanjang mengendalikan majlis berkenaan.
Ditanya tentang perkembangan terbaru dirinya, Daphne memberitahu dia sudah tak lagi bersama The Breakfast Show setelah empat tahun berganding dengan program pagi itu.
“Tahun lepas saya diberi peluang untuk menjadi pengacara rancangan Bella bersama dua lagi pengacara, Deborah Henry dan Elaine Daly secara bergilir-gilir.
“Giliran saya ke udara untuk Bella adalah setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 11.30 pagi hingga 12 tengah hari dan hari Ahad (1.30 hingga 2.30 petang),’’ ujarnya yang turut mengacara televisyen secara online 2RedChairs.
Dari Rakyat Marhaen / Pena Kusisip Blog
Tiada ulasan:
Catat Ulasan