Khabar angin yang mendakwa Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat sakit tenat dan dikejarkan ke hospital adalah tidak benar, lapor portal Malaysiakini.
Hal itu disahkan sendiri oleh setiausaha akhbarnya Ahmad Fadhli Shaari kepada portal itu pagi tadi.
"Dakwaan yang menyatakan beliau sakit tenat dan dikejarkan ke hospital itu tidak betul," katanya yang juga ketua penerangan Pemuda PAS Kelantan.
Ahmad Fadhli bagaimanapun berkata petang semalam Nik Aziz ada mengadu sakit pinggang.
"Beliau solat subuh pagi ini. Hari ini beliau cuti rehat kerana ada sedikit keuzuran," katanya.
Menurutnya, beliau dimaklumkan mengenai desas desus tersebut malam semalam dan akan menziarahi Nik Aziz untuk mendapatkan perkembangan berhubung kesihatan tokoh PAS itu tengah hari ini.
Sementara itu, penulis blog Merah Tinta, Mohd Sayuti Omar turut menulis perbualannya dengan salah seorang anggota keluarga Nik Aziz yang memberitahu bahawa "Tok Guru sakit tenat tu tak betul".
"Semalam ayah ada mengurut dengan tukang urut baru. Entah guana (macam mana) dia urut kuat ba'kali (barangkali) mungkin kerana tak serasi tangan, ayah sakit urut.
"Dia jadi tidak boleh bergerak... tetapi Alhamdulilah pagi tadi sudah solat Subuh tetapi tak jadi tok imam," coret Mohd Sayuti dalam blognya hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan