Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) membantah sekeras-kerasnya cadangan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang mahu menjadikan golongan doktor, jururawat, juruterbang dan wartawan sebagai pengundi pos.
DPPWP berpendapat, menggunakan sistem undi pos terhadap golongan profesional ini menutup lagi ruang demokrasi negara yang kian dipertikaikan rakyat.
DPPWP menegaskan undi pos adalah talian hayat kerajaan UMNO-BN. Cadangan SPR seakan mahu menambah lagi jangka hayat pemimpin UMNO-BN terutama di kawasan yang mereka tidak selamat. Apakah SPR mahu menjadi sebuah lagi parti komponen Barisan Nasional dengan menjalankan usaha yang licik buat membantu memenangkan UMNO-BN dalam PRU ke 13?
Sistem undi pos telah lama dipertikaikan rakyat. Apakah jaminan SPR ketelusan undi pos dapat dijalankan dengan baik memandangkan ada pengalaman anggota tentera yang tidak dapat mengundi pos semasa mereka bertugas kerana telah diundi oleh pihak atasan mereka?
Dalam Pilihanraya kecil di Bagan Pinang, daftar pemilih SPR tidak sama dengan daftar pemilih tentera, serta kertas undi boleh diserahkan di mana-mana termasuk di kompleks beli belah. Bagaimana kertas undi yang dipos dua hari sebelum mengundi mampu dipulangkan balik tepat pada masanya tanpa berlau kesilapan.
Hampir setiap pilihanraya kecil atau umum, kemenangan besar calon BN diraih melalui undi pos dan terlalu sedikit yang mengundi calon pembangkang. Mungkinkah semua anggota tentera adalah ahli BN atau pengundi tegar BN di mana-mana kawasan?
Dalam kes anggota tentera, DPPWP mempersoalkan keperluan SPR menjadikan golongan ini sebagai pengundi pos memandangkan suasana negara yang tidak mendesak sedemikian. Dalam keadaan aman dan tenteram sebeginilah, ruang demokrasi perlu dibuka seluas-luasnya dengan memberi peluang anggota tentera mengundi sebagaimana pengundi yang lain.
Alasan SPR mahu menjadikan kumpulan profesional ini sebagai pengundi pos hanya semata-mata mahu memberi peluang kepada mereka untuk mengundi kerana terlalu sibuk bekerja adalah alasan yang tidak boleh diterima. Golongan ini bekerja mengikut jadual dan syif.
DPPWP tidak fikir sekiranya mereka turun mengundi mengikut jadual sepertimana golongan profesional yang lain, menyebabkan operasi kerja mereka terjejas. Kalaulah mereka tidak berpeluang mengundi kerana sedang bekerja, mereka tidaklah mewakili golongan majoriti yang perlu dijadikan sebagai pengundi pos.
Dalam hal ini, SPR perlu mengelak hari bekerja sebagai hari mengundi sepertimana yang dibuat ketika beberapa pilihanraya kecil baru-baru ini. Ini lebih menyukarkan semua golongan bekerja untuk turun mengundi.
Sekiranya SPR berkeras juga mahu menjadikan golongan doktor, jururawat, juruterbang dan wartawan sebagai pengundi pos, DPPWP mengesyorkan agar menjadikan semua golongan profesional sebagai pengundi pos.
Bukan setakat itu, mahasiswa yang layak mengundi, penoreh getah, pekebun, pemandu teksi dan bas, nelayan, peniaga dan lain-lain juga boleh dijadikan sebagai pengundi pos memandangkan semua golongan ini sibuk bekerja dan tidak mampu meninggalkan tempat kerja mereka untuk turun mengundi. Dengan demikian, mudahlah BN meraih kemenangan besar dalam PRU ke 13 akan datang!
Penulis adalah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan