Pengikut

Rabu, 8 Disember 2010

Kain Rentang Untuk Sedarkan Rakyat

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad, berkata sudah sampai masanya rakyat memberikan pengajaran kepada pimpinan Barisan Nasional(BN) yang hanya tahu memenuhkan kantung sendiri, pada masa yang sama membiarkan rakyat menderita.

Justeru PAS menyeru semua cawangannya menaikkan kain rentang di setiap kampung bagi tujuan membangkitkan kesedaran rakyat. "PAS mengharapkan rakyat dapat "sekolahkan" pemimpin BN melalui kuasa politik. Pemimpin yang tidak mempedulikan rakyat ini hanya takut dengan azab dunia iaitu apabila kuasa mereka ditumbangkan oleh rakyat," tulis Idris dalam satu kenyataan media hari ini.

PAS juga mengharapkan seluruh jentera penerangan PAS dan Pakatan Rakyat mesti bangkit untuk menimbulkan kesedaran politik di kalangan rakyat terutama mereka yang tidak banyak menggunakan media baru.

Maka pendekatan menaikkan kain rentang, adalah antara langkah pertama untuk menanamkan kesedaran di kalangan masyarakat yang berada di kawasan kampung misalnya.

PAS turut mencadangkan perkataan-perkataan yang boleh ditulis dengan meletakkannya di tempat-tempat strategik dan menggunakan huruf besar. Perkataan- perkataan itu juga boleh ditukar dua minggu sekali untuk menarik perhatian di samping menyampaikan isyarat jelas bantahan rakyat kepada Perdana Menteri.;-

" Terima Kasih BN Kerana Naik Harga Petrol, Diesel, Gas dan Gula"

" Barang Naik,Rakyat Kena Dulu"

" Beri Kuasa Pada PR Kalau Tidak Boleh Jaga Rakyat"

" Kerajaan PR Teruji Dan Terbukti Membela Rakyat"

" Pemimpin Kaya Rakyat Terseksa"

" Pemimpin Joli Rakyat Tidak Dipeduli"

" Jangan Biarkan Anak Cucu Kita Melarat"

" Tolak BN Anda Mampu Mengubahnya"

" Kami Rakyat Bermaruah Akan Tolak BN"

" Barang Naik, BN Tidak Pandai Memerintah"

" Tugas Kerajaan Jaga kebajikan, Bukan Tekan Rakyat"

" Selamatkan Negara Daripada Muflis"

" Mana Wang Petronas Dihabiskan"

" Negara Malaysia Bukan Padang Pasir Yang Tidak Ada Hasil"

" Kemana hasil Balak,Kelapa Sawit,Getah, Mutiara, Pasir Dihabiskan?"

" Pemimpin BN Bela Kroni Dan Anak Bini""Anda Sayang Keluarga,Bangkit Tolak BN"


Kerajaan pada 4 Disember lalu telah menaikkan harga empat barangan keperluan asas iaitu minyak,gas, gula dan diesel tanpa memikirkan implikasinya kepada rakyat.

"Memang tidak boleh diterima oleh akal.

"Setelah mereka merasakan rakyat bertambah yakin melalui peti undi pilihanraya kecil Galas dan Batu Sapi maka mereka sudah lupa kepada rakyat dan tidak mahu mengambil tahu tentang derita rakyat," tambah Idris lagi.

Bahkan menurut Idris, kerajaan kemudiannya tanpa segan silu terus memperbodohkan rakyat dengan menggunakan ungakapan seperti penyelarasan dan subsidi dikurangkan.

Malaysia ujarnya mengambil contoh Singapura yang meletakkan harga jauh lebih tinggi berbanding Malaysia, namun kuasa membeli rakyat negara itu jauh lebih tinggi berbanding Malaysia.

"Negara Singapura masih mahal berbanding dengan Malaysia. Kenapa tidak ambil contoh Brunei dan negeri yang ada minyak. Singapura walaupun mahal tetapi kuasa membeli rakyatnya tetap tinggi dan Singapura bukan negeri pengeluar minyak," kata Idris lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan