Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat dakwaan portal sarawakreport.org berhubung pegangan saham Ketua Menteri, Datuk Seri Taib Mahmud dalam anak syarikat kerajaan negeri iaitu Royal Mulu Resort, ujar Baru Bian.
Pengerusi Majlis Pimpinan Sarawak itu yang ditemui di sidang kongres nasional PKR petang tadi berkata laporan yang dibangkitkan amat penting bagi pihak SPRM menyiasat perkara itu lebih lanjut kerana ia membabitkan hak rakyat negeri itu.
"Saya bersama pimpinan Pakatan Rakyat Sarawak menyerahkan salinan laporan itu kepada SPRM di Bandar Kuching, semalam.
"Aduan yang dibuat adalah tentang pembabitan langsung Ketua Menteri yang mempunyai kepentingan dalam sebuah anak syarikat kerajaan negeri ke atas pengurusan Royal Mulu Resort.
"Kita akan beri tempoh dalam satu hingga dua minggu untuk mereka dan jika tidak, kita akan 'follow up' dengan mereka," katanya.
Menurut beliau, tidak ada laporan rasmi yang dibuat tetapi SPRM katanya boleh bertindak berdasarkan salinan laporan portal tersebut yang jelas menunjukkan terdapatnya salahguna kuasa berhubung isu tersebut.
Portal sarawakreport.org sebelum ini mendedahkan Taib memiliki saham yang terbesar di dalam projek kontroversi, Royal Mulu Resort yang mendapat suntikan dana tunai yang banyak daripada Kerajaan Negeri.
Ini menunjukkan Taib sebagai Ketua Menteri dan Menteri Kewangan menyalahguna kuasa dengan memberi kebenaran supaya pengaliran dana awam terus dalam poketnya.
Taib turut bertanggungjawab dalam pengambilalihan tanah adat secara paksa daripada kaum Berawan untuk membina resort tersebut, tanpa memberikan apa-apa pampasan.
Portal tersebut juga mendakwa mereka mempunyai bukti-bukti kukuh yang menunjukkan tindakan tersebut atas kapasiti untuk kepentingan diri sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan