Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan seorang pemimpin yang disegani di seluruh pelosok dunia dan menjadi penyatu kepada Pakatan Rakyat perlu dipertahankan seluruh Anggota Parti keadilan Rakyat, tegas Ketua Srikandi Keadilan, Siti Aishah Shaik Ismail dalam perbahasannya di Kongres Nasional Keadilan ke-7 di sini hari ini.
"Anwar merupakan pemimpin penyatu, yang menyatukan ketiga-tiga parti pembangkang ke dalam Pakatan Rakyat, yang dijangka oleh ramai pemimpin rantau ini bahawa beliau akan menjadi perdana menteri satu hari nanti.
"Tetapi apa yang berlaku di negara ini ialah, pemimpin ini, diizinkan untuk dihina," jelas Siti.
Katanya lagi, beliau dapat menerima sekiranya orang luar parti yang mengeluarkan kenyataan menghina Anwar tetapi beliau tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana ahli PKR yang cuba mengata Anwar.
"Anwar akan dipenjarakan kali ini dan bagi saya, seorang akan tidak akan mendoakan keburukan untuk bapa, maka saya tidak akan izinkan apa-apapun terjadi kepada beliau.
"Sebagai anak muda PKR, kita tidak akan membenarkan Anwar dipenjarakan sekali lagi. Jangan jadi bacul seperti Umno-BN, kalau takut risiko, jangan bicara soal perjuangan!" tegas beliau lagi.
Kata beliau, laungan reformasi perlulah menjadi asas perjuangan semua ahli dan tidak menjadi 'menang sorak kampung tergadai'.
"Lebam mata Anwar bangkitkan semangat saya untuk berjuang, sakit belakang Anwar bangkitkan semangat saya untuk mendapatkan keadilan.
"Seperti mana Parti Islam SeMalaysia (PAS) mempunyai Tok Guru Nik Aziz sebagai Mursyidul Am, kita juga patut berbangga adanya seorang individu seperti beliau (Anwar) untuk menasihati kita," tegas Siti lagi.
Mengulas berkenaan peranan media, Siti mengingatkan ahli PKR agar tidak menggunakan media massa untuk menunjukkan tentangan terhadap pemimpin kerana cara sebegitu tidak melambangkan budaya PKR.
Katanya lagi, seminit dua sudah memadai untuk Srikandi bertindak dan tidak perlu menunggu 24 atau 48 jam untuk memberikan kenyataan media dan sebagainya sekiranya sesuatu berlaku terhadap Anwar.
"Kita punya sebutir permata, kita perlu jaga jangan jadikannya kaca!" tegas Siti, mengakhiri ucapan perbahasan beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan