Pengikut

Isnin, 15 November 2010

Ramai Pengundi POS baru Di P.Pinang?

PAS Pulau Pinang mencurigai penambahan jumlah pengundi pos di beberapa kawasan negeri itu melalui beberapa kes yang penukaran status pengundi yang dikesan.

Setiausahanya Mohd Fadzil Kemi berkata, keadaan itu dikhuatiri akan digunakan oleh BN untuk memenangi pilihan raya umum ke-13 yang dijangka berlangsung tahun depan.

Katanya, keadaan itu dikesan berdasarkan penambahan sebanyak 630 orang pengundi pos di dalam kawasan parlimen Tasek Gelugor.

Pengundi di kawasan tersebut dipecahkan kepada tiga kawasan DUN -- Sungai Dua, Permatang Berangan dan Teluk Ayer Tawar.

Apa yang mencurigakan, pengundi pos berkenaan sebelum ini telahpun mengundi sebagai pengundi awam, namun kini didakwa telah hilang kelayakan tersebut, katanya.

Bercakap ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Mohd Fadzil juga berkata PAS Pulau Pinang telah mengenalpasti sekurang-kurangnya seramai empat orang pengundi yang mengalami nasib seperti itu.

Pengundi awam jadi pengundi pos

"Kita ada buat siasatan ke atas empat sampel. Sebelum ini mereka pernah mengundi sebagai pengundi awam, tapi sekarang hilang kelayakan tersebut sedangkan mereka tidak pernah memohon untuk menjadi pengundi pos.

"Bagaimana mereka boleh jadi pengundi pos secara automatik sedangkan mereka perlu isi Borang 1 terlebih dahulu.

"Mereka kena mohon dulu, kemudian barulah disahkan oleh SPR," katanya yang menjelaskan, sekalipun pengundi itu layak sebagai pengundi pos, individu berkenaan masih belum hilang kelayakan sebagai pengundi awam.

Katanya, tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memindahkan pengundi berkenaan daripada Daftar Pengundi Induk ke dalam senarai pengundi baru merupakan satu kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Pendaftaran Pemilih).

"Pengundi ini kita memang kenal. Mereka adalah anak kepada kawan-kawan kita juga, secara umumnya mereka ini adalah isteri kepada anggota tentera di sini.

"Yang kita lagi hairan, kenapa tentera itu mengundi di tempat lain, tapi isteri dia mengundi di tempat lain," katanya yang juga timbalan pengarah jabatan pilihan raya PAS negeri.

Katanya lagi, "pengundi baru" itu didaftarkan di satu lokaliti mengundi yang "tidak wujud sebelum ini."

"Memang ada satu kem tentera di kawasan ini, tapi yang duduk di situ tak sampai 1,000 orang pun.

"Tapi ada seramai 2,300 orang pengundi pos, kemudian ditambah lagi 630 orang, jadi dekat 3,000 orang. Ini yang tak masuk akal," katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan