Kerajaan telah meluluskan lagi peruntukan tambahan sebanyak RM147 juta untuk kos pembinaan Istana Negara baru di Jalan Duta. Jumlah tersebut telah menyebabkan jumlah peruntukan untuk pembinaan istana bertambah dua kali ganda setakat ini dari RM400 juta ke RM935 juta.Jawapan tersebut yang dibuat secara bertulis daripada Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor kepada soalan ahli Parlimen Segambut dari DAP, Lim Lip Eng turut menjelaskan penambahan peruntukan tersebut adalah sebagai menampung kos yang tidak dinyatakan di dalam kontrak asal yang ditandatangi dengan penerima kontrak.
Antara kos yang terbabit sebagai tambahan itu adalah untuk sistem keselamatan istana, pembahagian dana kepada syarikat utiliti dan pereka dalaman istana. Kompleks istana baru tersebut yang dibina di atas tanah seluas 100,000 kaki persegi dijangka siap pada awal tahun 2012.
Dengan tambahan peruntukan ini, kos mutakhir istana itu telah melambung-lambung naik dengan kos asal dinilai ialah RM650 juta ke RM797 juta. Bagaimanapun, kos dijangka akan naik lagi kerana peruntukan untuk kos membina jalan raya ke istana baru itu masih belum siap dinilai. Namun demikian, penilaian terakhir ke atas kos operasi dan pengurusan untuk fasa terakhir projek itu sewajarnya selesai pada bulan Jun tahun hadapan.
Shaziman menjangkakan kos tambahan yang akan diluluskan lagi bakal menyaksikan kos untuk pembinaan jejambat ke istana itu dari Jalan Duta bakal menelan belanja sebanyak RM106 juta manakala kerja-kerja menaiktaraf Jalan Changkat Semantan ialah RM32.5 juta. Dengan kedua-dua jumlah inilah yang akan meningkatkan kos keseluruhannya menjadi hampir RM935 juta apabila siap kelak.
Sebelum ini semasa perancangan pembinaannya, bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu mengumumkan kos pembinaannya hanya menelan belanja sebanyak RM400 juta.
Projek ini menimbulkan banyak kontroversi yang melibatkan pertikaian politik dan dakwaan hak asasi manusia yang diabaikan. Sebelum ini, ada pihak media dan parti politik mendakwa berlakunya penganiayaan ke atas pekerja tapak tersebut yang menyebabkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) masuk campur.
Baru –baru ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan syarikat yang memperolehi kontrak pembinaan tersebut adalah syarikat dorman tidak berlesen. Syarikat tersebut, Maya Maju (M) Sdn Bhd turut didakwa tidak didaftarkan di bawah Lembaga Pembangunan Pembinaan Industri (CIDB) dan tidak mempunyai latar belakang pengalaman di dalam industri pembinaan.
Maya Maju hanya didaftarkan sebagai syarikat pembinaan pada Ogos 2008 selepas memperolehi kontrak membina istana tersebut pada hujung tahun 2007. Anwar juga mendakwa syarikat itu dimiliki oleh bekas Bendahari Umno dari Merbok, Kedah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan