UMNO ialah sebuah parti kebangsaan yang sekular dan rasis. Parti ini tidak pernah berhasrat untuk menjadikan Islam sebagai asas perjuangan. Namun demikian, tindak-tanduk para pemimpin mereka sejak akhir-akhir ini telah melangkaui bidang kuasa guru agama, kadi, mufti, dan Majlis Agama Islam Negeri.
Dengan gelaran Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pusat, Reezal mengharamkan pemberian wang RM100.00 oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang kepada warga emas. Dengan gelaran Yang Berhormat Penaga, Azhar Ibrahim menyokong pandangan itu dan dengan riang hati mengutip balik wang yang diserahkan kembali oleh sebahagian warga emas yang termakan dengan "fatwa" tersebut.
Kejadian aneh ini dilaporkan secara meluas oleh tv dan akhbar tanpa sedikit pun merujuk golongan yang ahli. Pada masa yang sama, golongan yang ahli ini membiarkan saja kejadian itu berlaku secara berleluasa walaupun mereka tahu kedudukan dan hakikat yang berkaitan dengan pertikaian itu.
Pertama, memang benar Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang diberi wang oleh Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang. Kedua, memang benar duit itu dibelanjakan untuk membantu golongan miskin bukan Islam. Ketiga, tidak benar wang itu digunakan untuk membantu warga emas yang beragama Islam. Keempat, Dr. Asri (Bekas Mufti Perlis) mengatakan bahawa jika sekalipun wang yang diberi kepada warga emas itu hasil judi, tidak haram hukumnya. Kelima, Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang telah mengesahkan bahawa wang yang diberikan kepada warga emas itu diambil daripada wang yang berjaya dijimatkan oleh kerajaan negeri.
Oleh sebab itu, mengapakah pihak berkuasa agama membiarkan Reezal Merican menjadi Sahibul Samahah dalam perkara ini? Mengapakah pihak berkuasa agama membiarkan Azhar Ibrahim turut sama menjadi Sahibul Samahah dalam perkara yang sama? Seluruh rakyat Malaysia mengurut dada melihat kejadian yang aneh dan bebal ini.
Tolonglah kembalikan yang hak ke tempatnya. Tolonglah singkirkan kebatilan daripada menjadi amalan umat Islam. Janganlah biarkan Islam dipergunakan untuk kepentingan politik UMNO. Pihak berkuasa agama perlu menginsafi diri dan keluar dari kepompong ketakutan kepada penguasa!!!
Oleh: ruhan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan