Tawaran Nurul Izzah untuk bertanding jawatan Naib Presiden telah dipandang sinis oleh ramai pihak. Kononnya beliau masih terlalu muda untuk berada disitu. Tambahan pula, wujudnya unsur kronisme andai beliau bertanding disitu.
Apa tidaknya, bapanya Anar Ibrahim Penasihat Umum, ibunya Wan Azizah Presiden dan jika beliau menang maka dia akan menjadi salah seorang Naib Presiden. Namun harus diingat bahawa Nurul Izzah telah lama berkorban masa dan tenaga untuk meneruskan agenda perubahan itu sendiri sebenarnya. Beliau terpaksa bergelumang dengan berbagai keperitan sejak era reformasi lagi.
Semuanya dek kerana hasratnya untuk membela nasib keluarga dan rakyat yang terus tertindas ketika itu. Mendapat jolokan "Puteri Reformasi" ketika itu, maka Nurul berupaya membawa perubahan besar kepada parti andai dipilih ke jawatan itu. Hubungan erat dengan pucuk pimpinan tertinggi parti boleh menjadi landasan mudah untuk beliau meneruskan agenda perubahan itu.
Ramai yang terkilan apabila beliau mengumumkan hasrat tersebut, kerana Wanita PKR sebulat suara telah mencalonkan nama Fuziah Salleh (Ahli Parlimen Kuantan) ke jawatan itu.
Ramai yang mengandaikan bahawa undi wanita akan berpecah dua susulan hasrat Nurul itu. Namun, kekuatan sebenarnya ada pada diri masing-masing dan tidak perlu dipertikaikan. Nurul dan Fuziah mempunyai kehebatan tersendri untuk menarik undi. Tidak ada perbezaan ketara andainya Nurul berjaya atau Fuziah berjaya.
Apa penting, suara wanita itu perlu diperkasakan dalam membawa misi untuk menawan Putrajaya dalam pilihanraya umum akan datang. Justeru itu, Nurul Izzah adalah calon paling sesuai untuk mewarisi ketokohan ibubapanya kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan