"Saya mengambil sikap yang terbuka, kerana ini satu tradisi yang baik. Dan ianya akan diputuskan oleh parti untuk masa yang akan datang," kata calon Timbalan Presiden PKR ini.
Wartawan menyusul dengan soalan sama ada beliau sudi menyahut, seandainya ada cadangan untuk mengadakan perdebatan umum, Azmin (gambar kanan) berkata, "Ya, ini satu tradisi yang baik. Tetapi perdebatan itu mesti tumpu kepada persoalan pokok perjuangan, dan tidak mahu digunakan sebagai pentas untuk menyerang dasar-dasar parti atau mana-mana pimpinan kerana pastinya... "Beliau menyambung, "Oleh kerana media dalam negara ini dikuasai dan dipengaruhi oleh parti-parti politik dalam UMNO dan Barisan Nasional, mereka pastinya akan melakukan manipulasi untuk menyerang kita (PKR). Jadi kita juga lebih berhati-hati dalam konteks ini, dan ianya akan dibincang di peringkat pusat."
Perdebatan umum dibangkitkan wartawan, sambil menyatakan pengamatan bahawa cara kempen calon Timbalan Presiden setakat ini lebih tertumpu kepada sindiran terhadap peribadi sesama calon, tetapi tidak menyentuh dasar atau polisi parti.
"Saya dan pimpinan tidak bersetuju apa juga tindakan untuk berkempen secara kotor. Biro politik telah menegaskan (bahawa) kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana calon yang terlibat dalam kempen yang tidak sihat ini," tegasnya.
"Dalam perhimpunan pada petang ini pun, pimpinan yang berucap semuanya menonjolkan imej kepimpinan dan wawasan bagi memperkukuhkan parti," katanya dalam satu sidang media selepas pidato penerimaan pencalonan dan pelancaran manifesto "Reformasi menuju Putrajaya", di Dewan Auditorium, Dewan Sivik MBPJ petang ini.
Turut hadir dalam sidang media bersama Azmin Ali adalah calon Naib Presiden Tian Chua, Xavier Jayakumar, Mansor Othman, dan calon Ketua Wanita Zuraidah Kamaruddin.
Manifesto yang premature?
Tema manifesto "Reformasi menuju Putrajaya" mencungkil pertanyaan daripada wartawan, sama ada sebagai manifesto yang terlalu "premature" (terlalu awal)?
Bagaimanapun, Azmin Ali enggan enggan mengulas manisfesto Zaid Ibrahim, yang berjanji untuk mencari jalan agar "mengisi tabung Cabang" seandainya terpilih sebagai Timbalan Presiden.
"Bagaimana boleh saya mengulas manifesto orang lain? Anda seharusnya bertanya dia," sebelum beliau menyambung, "Maksud saya, sebelum beliau merangka manifesto beliau, saya pasti beliau ada sebabnya untuk penawaran sebegitu dalam manifestonya. Saya tak mahu mengulas manisfesto beliau, saya menganggap tidak sesuai untuk saya berbuat demikian. Anda harus tanyalah beliau."
Wartawan membalas dengan mendakwa Zaid Ibrahim turut mengulas manifesto Azmin, beliau berkata, "Baik, itu pilihan beliau. Tetapi saya tidak suka komen (manifesto) orang lain, sebab saya menawarkan manifesto. Saya mengolahnya dalam ucapan saya. Kemudian, terserahlah kepada anggota parti untuk membuat keputusan."
Yakin kerana pengalaman 12 tahun
Azmin akan bertarung dalam pertandingan tiga penjuru, bersama Mustaffa Kamil Ayub dan Zaid Ibrahim untuk jawatan Timbalan Presiden. Ketika ditanya sejauh mana keyakinannya untuk menang dalam pemilihan ini, beliau berkata, "Saya menghormati proses demokrasi di dalam parti. Dan sudah tentulah pada tahun ini ia lebih mencabar kerana setiap anggota itu mempunyai satu undi untuk menentukan kepimpinan parti dalam pemilihan kali ini."
"Maka dalam konteks ini, saya yakin anggota-anggota parti akan mendukung pimpinan yang telah diuji dan teruji, pimpinan yang setia dalam perjuangan dan mempunyai wawasan untuk memperkasa parti bagi menghadapi pilihan raya umum yang akan datang."
Majlis pidato dan pelancaran manifesto Azmin Ali dihadiri kira-kira 1,500 orang penyokong, termasuk pimpinan dari Sabah, Angkatan Muda, Wanita dan sebagainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan