Pengikut

Isnin, 11 Oktober 2010

MP PAS akan gegarkan Parlimen dengan isu panas bagi hadapi PRU-13

Ahli-ahli Parlimen PAS mengakhiri sesi ‘retreat’ tiga hari kelmarin — julung kali diadakan membabitkan wakil-wakil rakyat parti Islam itu, menjanjikan akan membawa sekitar enam isu baru untuk menggegarkan sesi Dewan Rakyat bersidang semula mulai hari ini.

Ia juga dilihat sebagai persiapan komponen Pakatan Rakyat (PR) menghadapi pilihan raya negeri Sarawak dan umum — disebut-sebut sama ada akan diadakan berasingan ataupun serentak awal tahun depan.

Sambil menjanjikan beberapa “kejutan” isu pada sesi kali ini, yang akan berlangsung selama 43 hari, beberapa wakil rakyat yang dihubungi The Malaysian Insider mengesahkan mereka telah membincangkan sejumlah isu secara menyeluruh dan meliputi semua bidang khususnya ekonomi.

Ahli Parlimen Kuala Selangor PAS Dr Dzulkefly Ahmad yang bertindak sebagai pengarah ‘retreat’ sulung ini, yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara memberitahu, pihaknya membuat persiapan rapi memandangkan pelbagai pihak mendakwa Bajet 2011 adalah belanjwan terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13.

Sesi itu dihadiri kesemua 23 Ahli Parlimen PAS.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan akan membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat, Jumaat ini.

Pada ‘retreat’ ini, ahli-ahli Parlimen PAS turut diberikan taklimat oleh beberapa penganalisis politik dan ekonomi, membentangkan senario politik dan ekonomi yang berkaitan dengan dasar-dasar pentadbiran Najib.

“Kami bersiap sedia untuk menghadapi debat yang besar, ketika ramai meramalkan sesi Parlimen ini adalah yang terakhir, walaupun saya secara peribadi tidak bersetuju (dengan pandangan ini), dan dengan meramalkan ini sebagai bajet pilihan raya, kami perlu bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13,” katanya lagi.

“Sesi ini, selain sesi bajet, juga didedahkan dengn Rancangan Malaysia Ke-10, program ETP dan Model Baru Ekonomi, EPP dan BIZ Ops... banyak sitilah besar,” kata beliau.

Oleh itu, PAS menghimpunkan input semua pihak pada sesi yang diaturkan secara kebetulan ketika bersiap sedia menghadapi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Galas, kata ahli jawatankuasa kerja PAS pusat ini.

“Kami berdepan dengan cabaran perbahasan dengan akan adanya Bajet 2011 dan beberapa rang undang-undang yang telah diaturkan (oleh Parlimen),” kata bekas pengarah unit penyelidikan PAS ini kepada The Malaysian Insider.

“Ini memerlukan persiapan yang rapi dan persefahaman dan perkongsian maklumat di kalangan Ahli Parlimen kami,” kata beliau sambil menambah, PAS “sebagai parti yang bertanggungjawab mahu memastikan penyertaan yang aktif dalam perbahasan kali ini.”

Mesyuarat ketiga penggal ketiga Parlimen ke-12 akan berlangsung sehingga 15 Disember.

Baru-baru ini, Najib ketika berucap pada Perundingan Bajet 2011 menyifatkan Bajet 2011 sebagai yang akan menetapkan rentak transformasi ekonomi ke arah ekonomi maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Persidangan kali ini juga bakal menyaksikan beberapa lagi rang undang-undang yang dikemukakan untuk bacaan kali pertama pada sesi lepas dibentangkan termasuk Rang Undang-Undang Perbadanan Stadium Malaysia 2010, Rang Undang-Undang Lembaga

Perindustrian Kayu Malaysia (Pemerbadanan) (Pindaan) 2010; Rang Undang-Undang Pemberi Pinjam Wang (Pindaan) 2010, Rang Undang-Undang Kawalan Harga dan Antipencatutan 2010 dan Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2009.

Selain itu, dua rang undang-undang yang ditangguhkan pada Jun lepas iaitu Rang Undang-Undang Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) (Pindaan) 2010 dan Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2010 turut disenaraikan untuk pembentangan pada persidangan kali ini.

Secara keseluruhan, komposisi Dewan Rakyat terdiri daripada 137 Barisan Nasional, 77 wakil Pakatan Rakyat dan lapan Bebas.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, pihaknya mahu menyediakan ahli-ahli Parlimen parti itu membuat persiapan yang tersusun agar kelihatan berkesan apabila membangkitkan isu dalam Parlimen.

“Kita telah sampai ke satu tahap politik dengan spekulasi bahawa ini (kemungkinan) penggal dan sesi menyuarat akhir sebelum pilihan raya umum ke-13,” katanya.

Justeru jelas beliau, sesi pemukiman kali ini muncul penting bagi menyediakan wakil rakyat PAS tampil dalam sesi perbahasan dengan isu-isu secara lebih efektif menyentuh semua aspek kehidupan rakyat.

“Kami membincangkan semua isu sama ada politik, ekonomi dan juga sosial,” katanya.

Ketika ditanya sama ada boleh mengharapkan kejutan, Ahli Parlimen Kubang Kerian ini berkata: “Sudah tentu ada kejutan, tetapi belum sampai masa (untuk didedahkan sekarang).”

Rakan sejawatannya, Datuk Mahfuz Omar berkata, pihaknya menjangkakan lima hingga enam isu baru akan dibawa ke sidang Parlimen kali ini.

“Ya, retreat ini memang baru, kita adakan selama tiga hari... dulu kami biasanya adakan perbincangan peringkat pramajlis sahaja, dalam waktu yang singkat.

“Kami ambil langkah ini kerana mahu menaikkan martabat mutu perbahasan, yang lebih baik dan mantap,” katanya sambil menambah:

“Kami hendak membawa satu bentuk perbahasan yang lebih dinamik supaya rakyat faham isu-isu yang muncul, misalnya bercakap mengenai ETP dan Model Baru Ekonomi, rakyat tidak faham apa isunya.”

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pokok Sena ini menolak bahawa sesi ‘retreat’ kali ini ada kaitan dengan usaha awal PAS membuat persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Kita tidak tahu bila pilihan raya negeri Sarawak akan diadakan, tetapi jika pilihan raya negeri Sarawak tidak diadakan awal, kemungkinan pilihan raya negeri Sarawak dan umum akan diadakan serentak antara bulan Mac dan Jun tahun depan,” kata Mahfuz.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Datuk Halim Abdul Rahman tidak menolak pihaknya akan menyentuh soal komponen nilai-nilai Islam dalam pembangunan ekonomi demostik.

“Bercakap mengenai soal ETP, kita tidak faham... nampaknya ia lemah dan tidak berdasarkan pada model yang jelas,” kata Ahli Parlimen Pengkalan Chepa ini yang turut mengakui bahawa pihaknya akan menyentuh soal ekonomi secara efektif dan menyeluruh agar ia memenuhi rakyat pelbagai kaum.

Katanya, langkah ini penting memandangkan PAS kini sudah dilihat sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan semua kaum.

“Ini persepsi semasa, jadi kami mengadakan perbincangan untuk membawa isu-isu yang menyentuh rakyat semua kaum dan masyarakat,” katanya yang membayangkan isu ekonomi dan jenayah akan menjadi fokus.

Sambil mengakui pertemuan ini sebagai julung kali paling lama diadakan membabitkan Ahli Parlimen PAS, bekas setiausaha agungnya Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, pihaknya juga menyentuh isu rancangan pembangunan Kampung Baru.

“Pertemuan ini salah satu langkah persiapan kami menghadapi pilihan raya, banyak isu yang kami timbulkan kali ini,” kata anggota Dewan Rakyat dari Tumpat ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan