Pengikut

Ahad, 15 Ogos 2010

Perkasa ugut Umno hilang undi Melayu jika layan tuntutan MCA

Datuk Ibrahim Ali memberi kata dua agar kerajaan tidak melayan tuntutan-tuntutan ‘melampau’ Kongres Ekonomi Cina Malaysia semalam, jika tidak ia akan kehilangan sokongan orang Melayu dalam pilihan raya umum ke-13.

Sekiranya kerajaan meneruskan tuntutan Kongres Ekonomi Cina Malaysia tersebut, maka kepentingan kaum Bumiputera yang digariskan dalam Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) akan menjadi retorik semata-mata.

Sekiranya kerajaan tidak segera memperbetulkan hal ini, saya yakin Umno akan menerima padah pada pilihan raya umum akan datang,” kata Presiden Perkasa itu pada sidang media di sini hari ini.

Kata beliau jika ia berlaku orang-orang Melayu akan menolak kerajaan pimpinan sekarang.

Mereka melahirkan rasa marah terhadap tindakan kerajaan dalam beberapa perkara terutamanya soal ekonomi orang Melayu.

Jika tidak mereka akan kehilangan sokongan orang Melayu pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, jika tidak diperbetulkan tidak mustahil kerajaan Barisan Nasional (BN) akan jadi seperti kata pepatah Melayu “yang dikejar tak dapat, yang dikendong tercicir.”

Dalam usaha untuk menarik bukan Melayu sokong Barisan Nasional, pengundi-pengundi Melayu akan kecewa dan lari kepada parti lain.

Ini hakikat yang akan berlaku,” katanya.

Jadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri perlu bertindak tangani perkara ini, kata Ibrahim yang menubuhkan Perkasa selepas pilihan raya umum ke-12.

Mengulas lanjut, Ibrahim (Gambar Kanan)berkata, Perkasa dan Majlis Perundingan Melayu akan mengadakan sidang meja bulat tergempar bagi membincangkan secara terperinci mengenai isu berkenaan.

Kita akan mengadakan persidangan meja bulat ini pada 29 Ogos bagi membincangkan agenda ekonomi Bumiputera dan 12 perkara yang diluluskan oleh Kongres Ekonomi Cina,” katanya.

Wakil rakyat itu turut kesal dengan kenyataan Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Nazir Razak yang akhir-akhir ini banyak keluarkan kenyataan yang menyentuh hal berkaitan ekonomi termasuk orang Melayu.

“Beliau (Nazir) mengatakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebagai “bastardisation”, Apa maksud “bastardisation”?

Kalau DEB gagal itu soal pelaksanaan tetapi soal matlamat dan cara untuk mencapai tahap 30 peratus dengan mengekalkan tindakan kesungguhan itu mesti diteruskan. Adakah itu juga dianggap “bastardisation”?,” soalnya.

Semalam Nazir mengambarkan DEB sebagai sesuatu yang telah “dipernyataan-haramkan” dan menyimpang daripada tujuan asalnya.

DEB seolah-olah dilihat seperti dipernyataan-haramkan (bastardisation),” katanya pada sessi soal jawab selepas menyampaikan cermahnya pada Kongres Ekonomi Cina semalam.

Mengenai Permit Import (AP), Ibrahim menyifatkan Nazir tidak memahami matlamat AP yang dikeluarkan kepada Bumiputera.

Nazir (Gambar kiri ) juga mengatakan beliau tidak bersetuju untuk menghapuskan kuota Permit Import (AP) Bumiputera terutamanya dalam bidang permotoran.

Beliau juga mengatakan ini kerana beliau sendiri tidak ada AP. Saya percaya beliau tidak memahami matlamat AP yang dikeluarkan kepada Bumiputera,” katanya.

Beliau berkata, AP diwujudkan untuk menolong Bumiputera dalam industri permotoran dan automotif di negara ini.

Ini kerana rangkaian kedai alat ganti dan ejen-ejen dipegang bukan Melayu jadi dengan cara keluarkan AP ia banyak membantu orang Melayu berjaya dalam bidang automotif dan akhirnya hasil daripada kejayaan dilaburkan dalam bidang lain.

Sepatutnya hak keistimewaan seperti ini patut dikekalkan oleh kerajaan dengan merujuk kepada hak keistimewaan orang Melayu di bawah Fasa 153 Perkara 4 iaitu hak istimewa orang Melayu,” katanya.

Pada sidang media hari ini, Ibrahim mengecam Kongres Ekonomi Cina Malaysia semalam yang menuntut ekuiti bumiputera sebanyak 30 peratus dalam semua sektor ekonomi dikurangkan secara berperingkat.

Dalam 12 perkara yang dibuat semalam saya bagi pihak Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya termasuk meminta kerajaan supaya mengurangkan ekuiti 30 peratus Bumiputera,” katanya.

Kata Ibrahim, keputusan itu jelas memperlihatkan sikap mereka yang tidak ada akal budi dan berterima kasih kepada orang Melayu dan Bumiputera yang selama ini bertolak ansur begitu rupa atas ikatan yang dinamakan sosio kontrak dalam asas Perlembagaan dan isu ini sangat sensitif kepada orang Melayu.

Ia amat melampau dan memperlihatkan tamak kerana sasaran 30 peratus yang diminta mewakili 67 peratus majoriti rakyat di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Kongres Ekonomi Cina Malaysia yang menuntut hak ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus dalam semua sektor ekonomi dikurangkan secara berperingkat-peringkat.

Semalam, Kongres Ekonomi Cina Malaysia mahu kerajaan mengamalkan sistem tender terbuka dalam penawaran kontrak kerajaan agar persaingan adil dan tidak berat sebelah dalam bidang perniagaan tempatan dapat dicapai.

Tuntutan itu adalah antara 12 deklarasi yang terkandung dan diluluskan dalam kongres ekonomi yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelah pagi tadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan