Pengikut

Ahad, 18 April 2010

Gamis anggap larangan kempen cubaan takutkan mahasiswa

Gabungan Mahasisiwa Islam Se-Malaysia (Gamis) menyifatkan tindakan pihak tertentu khususnya universiti menyekat mahasiswanya daripada terlibat dalam pilihan raya kecil merupakan tindakan cuba menakutkan mahasiswa untuk bersuara.

Presidennya, Mohd Idris Mohd Yusoff berkata, mahasiswa berhak menjadi salah satu agen penentu di dalam pilihan raya kecil kerana calon yang dipilih rakyat juga bertanggungjawab terhadap isu mahasiswa.

Oleh demikian, beliau menyeru mahasiswa di seluruh negara bersama-sama dengan rakyat untuk terlibat di dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor, 25 April ini.

“Gamis juga menyeru kepada seluruh mahasiswa agar tidak ketinggalan bersama-sama rakyat, parti politik, badan bukan kerajaan dan sebagainya untuk menyuarakan hasrat mahasiswa serta mengambil peluang daripada amalan demokrasi di negara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar semalam.

Kelmarin, Universiti teknologi Mara (UiTM) menasihati penuntut universiti terbabit supaya tidak terbabit dalam sebarang ceramah dan kempen di pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Semua mahasiswa adalah tertakluk di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang melarang pelajar Institusi Pengajian Tinggi menyertai kempen politik dalam pilihan raya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan